Pastikan teras utama dijaga demi keharmonian negara
Jemaah menteri dilantik perlu bersih, integriti dan berwibawa

BANGI, 29 Rabiulakhir 1444H, Khamis – Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) menggesa kerajaan baharu yang dipimpin Perdana Menteri ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk terus menjaga dan mempertahankan Perlembagaan, institusi diraja serta Melayu-Islam sebagai teras utama negara.
Ini kerana, penjagaan terhadap prinsip utama berkenaan adalah asas kepada keharmonian dan kesejahteraan negara berikutan ia mula dicabul oleh individu serta gerakan tertentu sewaktu pemerintahan kerajaan terdahulu.
Justeru, PEMBINA meletakkan keyakinan kepada kerajaan yang akan memimpin nanti untuk menjaga prinsip-prinsip itu supaya keharmonian yang dibina oleh generasi terdahulu dapat dikekalkan, kata Presidennya, Wafiq Azman.
“Pembentukan pentadbiran kerajaan yang baharu dan ekonomi negara adalah cabaran pertama yang perlu diselesaikan secara berhati-hati dan bijaksana.
“Pelantikan anggota Jemaah Menteri selepas ini perlulah dilantik dari kalangan individu yang bersih, berintegriti dan berwibawa.
“Perkara ini penting bagi mengembalikan semula negara ke landasan yang lebih unggul setanding dengan negara-negara maju yang lain,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Pada masa sama, PEMBINA turut mengucapkan tahniah kepada Anwar yang dilantik sebagai Perdana Menteri baharu, sekali gus menamatkan polemik terhadap pemilihan jawatan tertinggi negara itu pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
“Pemilihan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah melantik beliau merupakan langkah terbaik dan seharusnya diterima dengan hati yang terbuka oleh rakyat Malaysia.
“Dalam keadaan negara yang mencabar hari ini, kami sangat berharap agar kepimpinan di bawah Datuk Seri Anwar Ibrahim akan dapat menjalankan tanggungjawab sebagai Perdana Menteri secara jujur, telus, cekap dan profesional tanpa dipengaruhi kepentingan pihak tertentu demi rakyat dan negara,” katanya.
Terdahulu, Al-Sultan Abdullah berkenan melantik Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10, selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.
Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai Perdana Menteri akan berlangsung pada jam 5 petang di Istana Negara, hari ini.