Berita Utama

Campur tangan politik punca masalah air Kelantan tak selesai

Dana dari kerajaan Persekutuan tidak disalurkan: Mohd Amar

KOTA BHARU, 30 Rabiulakhir 1444H, Jumaat – Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Abdullah menafikan kerajaan negeri gagal mengurus masalah bekalan air bersih serta projek tebatan banjir di pinggir Sungai Kelantan.

Beliau berkata, kerajaan negeri sentiasa berusaha untuk menyelesaikan isu berkenaan dengan kemampuan dimiliki.

“Ini bukan kegagalan tetapi ia merupakan masalah yang terpaksa kita hadapi dan kita sentiasa berusaha untuk menyelesaikan masalah tersebut.

“Kalau kerajaan Pusat mengambil sikap terbuka dan mengetahui tanggungjawab bersama untuk membangunkan negeri saya percaya banyak masalah dapat selesaikan,” katanya seperti dilapor Harakahdaily.

Kelantan menandatangani Perjanjian Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Bekalan Air pada 14 September 2016 bagi membolehkan kerajaan Persekutuan membantu Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) dari segi kewangan mewujudkan industri perkhidmatan air lebih mapan di Kelantan.

Menjawab soalan Datuk Mohd Adhan Kechik (UMNO-Bukit Bunga) pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini, Mohd Amar berkata, kos untuk menyelesaikan masalah bekalan air di Kelantan sudah meningkat kepada RM5 bilion sekarang berbanding RM2 bilion enam tahun lalu.

Sepatutnya peruntukan itu diberikan melalui perjanjian penstrukturan semula industri perkhidmatan bekalan air di Kelantan.

Namun, katanya, harapan itu tidak kesampaian susulan dana tersebut tidak diberi atas sebab teknikal serta campur tangan politik sempit pada ketika itu.

“Selepas tandatangan (tahun 2016), dana RM2 bilion tidak turun ke Kelantan, ada isu teknikal, sekarang 2022 anggaran kos sudah meningkat untuk selesai masalah bekalan air.

“Jadi sebab itu kita kena perbetulkan politik terutama kawan-kawan kita berada dalam Barisan Nasional (BN), kena perbetulkan supaya boleh selesai,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button