Berita Utama

Dr Zulkifli nasihat Anwar pelihara Islam sepenuh jiwa raga

Hargai pengorbanan generasi terdahulu, berhati-hati penasihat 'jahat'

BANGI, 30 Rabiulakhir 1444H, Jumaat – Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri menasihati Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya berhati-hati dengan penasihat yang jahat (bitanah al-su’).

Ini kerana menurut bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu, golongan berkenaan mampu menaikkan serta menjatuhkan Perdana Menteri ke-10.

Dr Zulkifli mengingatkan bahawa Malaysia adalah negara umat Islam yang dihormati dunia, justeru Anwar perlu menghargai pengorbanan dan perjuangan generasi terdahulu yang mengangkat nama Malaysia di mata dunia.

“Andalah penerus dan penentunya.

“Peliharalah Islam di tanah air ini dengan sepenuh jiwa raga,” katanya dalam kenyataan di Facebook beliau, malam tadi.

Dalam pada itu, beliau menjunjung kasih Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah serta Majlis Raja-Raja atas hikmah dan kebijaksanaan memutuskan kemelut pasca-Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Kepada yang belum berjaya, ia bukanlah penamat segala-galanya. Insya-Allah ada takdir yang lebih baik untuk mereka yang terus bersabar, ikhlas, dan istiqamah. Malaysia tak akan berjaya tanpa pembangkang yang melakukan semak dan imbang dengan teliti.

“Kepada rakyat Malaysia – semua bangsa dan agama – inilah yang telah kita lalui pada PRU15 yang lalu. Tarik nafas dan terima apa jua keputusan dengan lapang dada.

“Menang tidak megah, kalah tidak rebah. Hentikan budaya memaki hamun antara satu sama lain. Usah jadikan masa ini untuk ‘membalas dendam’,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button