Berita Utama

ISMA harap pentadbiran kerajaan baharu bersih, berintegriti

PM perlu jaga hak Melayu, Bumiputera dan agama Islam

BANGI, 30 Rabiulakhir 1444H, Jumaat – Gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) berharap barisan kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat mengotakan segala janji untuk memulihkan ekonomi dan kestabilan politik di Malaysia.

Menerusi satu kenyataan, Presiden ISMA, Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni berkata, pihaknya juga berharap supaya di bawah kepimpinan Anwar Ibrahim, pentadbiran negara akan bersih dan berintegriti.

“ISMA berpandangan bahawa Perdana Menteri harus menjaga hak-hak Melayu, Bumiputera dan agama Islam seperti yang tertakluk dalam Perlembagaan,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu atas pelantikannya sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10.

“ISMA juga menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia agar mematuhi titah KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dengan menerima barisan kepimpinan negara yang baharu agar negara stabil tanpa gangguan,” katanya.

Semalam, Anwar Ibrahim mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri ke-10 di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Anwar yang memulakan tugas hari ini berkata, pentadbirannya bakal menyaksikan pembentukan saiz Kabinet yang lebih kecil.

Bahkan, pihaknya juga akan mengusulkan supaya gaji menteri dalam Kabinet kerajaan perpaduan nanti dikurangkan ekoran perkembangan situasi ekonomi kini.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button