Berita Utama

PAS bincang dalam PN tawaran kerajaan perpaduan

Akur keputusan Agong, ucap tahniah pada Anwar

BANGI, 30 Rabiulakhir 1444H, Jumaat – PAS mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim yang telah diperkenan dan dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia Ke-10. 

Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, partinya yakin Anwar akan melaksanakan tanggungjawab dengan baik, adil dan ehsan serta turut mengutamakan konsep federalisme yang wajar kepada seluruh negeri dan rakyat jelata.

Berikutan itu, PAS mengucapkan syukur ke hadrat Allah SWT kerana kemelut kepimpinan negara pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tidak berterusan dan dapat diselesaikan dengan harmoni dan damai. 

“PAS menerima dengan reda dan hati terbuka segala ketentuan Allah yang tentunya mempunyai hikmatnya yang tersendiri.

“PAS menjunjung kasih dan mengucapkan setinggi-tinggi tahniah ke hadapan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agog di atas kebijaksanaan melaksanakan fungsi Baginda berdasarkan kuasa yang diperuntukkan mengikut undang-undang khususnya dalam soal perlantikan Perdana Menteri berdasarkan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a), Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengenai tawaran Perdana Menteri kepada Perikatan Nasional (PN) untuk menyertai Kerajaan Perpaduan pimpinannya, Takiyuddin berkata, PAS mengucapkan terima kasih dan akan memperhalusi perkara tersebut.

“… dalam waktu terdekat akan membincangkan perkara ini dengan rakan-rakan komponen dalam PN.

“Pada masa sama, turut meninjau pandangan dan kesediaan rakyat khususnya para pengundi yang telah memberikan undi yang amat memberangsangkan kepada PAS dan PN dalam PRU-15 yang lalu,” katanya.

Semalam, Anwar mengajak PN mendukung kerajaan perpaduan baharu yang ditubuhkan.

Beliau berkata, saranan itu dibuat bagi membolehkan sebuah kerajaan yang kukuh dapat mentadbir Malaysia.

Beliau berharap pertimbangan sewajarnya dapat dibuat mereka bagi membolehkan hasrat penubuhan kerajaan perpaduan nasional ini dapat dijayakan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button