Berita Utama

Istilah Kerajaan Perpaduan tak tepat, lebih sesuai Kerajaan PH+

Masih ada gabungan parti lain jadi pembangkang

BANGI, 1 Jamadilawal 1444H, Sabtu – Istilah ‘Kerajaan Perpaduan’ yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak tepat memandangkan Perikatan Nasional (PN) mahu memainkan peranan sebagai pembangkang.

Pakar Perlembagaan, Prof Madya Dr Muhammad Fathi Yusof menjelaskan, apabila sesebuah kerajaan ditadbir dan disokong oleh beberapa buah parti, maka kerajaan itu dikenali sebagai ‘Kerajaan Campuran’ atau ‘Coalition Government’.

Justeru, Kerajaan Persekutuan Malaysia yang diterajui oleh Anwar Ibrahim dari Pakatan Harapan (PH) dan disokong oleh Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan beberapa parti kecil lain termasuk dalam kategori ‘Kerajaan Campuran’.

Jelasnya, ‘Kerajaan Campuran Besar’ atau ‘Grand Coalition Government’ pula merujuk kepada kerajaan yang menggabungkan dua parti atau gabungan parti terbesar, walaupun parti-parti lain tidak menyertainya.

Jika PH dan PN bergabung membentuk kerajaan, maka nama kerajaan itu ialah Kerajaan Campuran Besar, katanya.

‘Kerajaan Perpaduan’ atau ‘Unity Government’ pula ialah apabila semua atau hampir semua parti-parti bersama-sama menyertai kerajaan sehingga tiada parti yang dianggap sebagai parti pembangkang.

“Dalam situasi sekarang penggunaan istilah ‘Kerajaan Perpaduan’ untuk Kerajaan Persekutuan Malaysia adalah tidak tepat.

“Ini kerana anggota Dewan Rakyat dari PN yang terdiri daripada 73 Ahli Parlimen tidak menyertai kerajaan, dan berfungsi sebagai pembangkang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Meskipun dari sudut kategorinya, kerajaan Malaysia adalah sebuah kerajaan campuran, Fathi berkata, dari sudut identitinya, kerajaan Malaysia boleh dianggap sebagai kerajaan PH.

Ini kerana parti yang dominan dan Perdana Menterinya adalah daripada gabungan itu.

“Jika ingin mengambil kira realiti bahawa PH tidak mencukupi jumlah kerusi majoriti mudah dan bergantung kepada BN, GPS, GRS dan lain-lain.

“Maka boleh juga kerajaan di bawah Anwar Ibrahim ini dikenali sebagai Kerajaan Pakatan Harapan Plus (PH+),” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button