Lelaki muat naik video perkauman dibebaskan
Selesai rakam keterangan, rujuk kes ke Pejabat Peguam Negara

BANGI, 1 Jamadilawal 1444H, Sabtu – Pemilik akaun Twitter, Zulfadzli@BumiLangit yang ditahan polis kerana memuat naik video berunsur perkauman pada Khamis lalu dibebaskan dengan jaminan polis hari ini.
Setiausaha Polis Diraja Malaysia, Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, suspek lelaki berusia 39 tahun itu dibebaskan selepas tempoh tahanan reman ke atasnya tamat.
“Suspek pemilik akaun Twitter bernama Zulfadli itu telah selesai dirakam keterangan sepanjang tempoh reman oleh polis dan hari ini telah dibebaskan dengan jaminan polis.
“Polis melalui Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) akan merujuk kertas siasatan kepada Pejabat Peguam Negara sebaik siasatan selesai dan kertas siasatan kes berkenaan dilengkapkan kelak,” katanya seperti dipetik media tempatan, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, kertas siasatan yang lengkap akan dirujuk kepada pihak Jabatan Peguam Negara seperti mana diperuntukkan dalam Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan.
Terdahulu, suspek ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, kerana memuat naik video yang menjurus kepada unsur perkauman yang boleh mencetuskan ketegangan kaum.