Berita UtamaDunia

Imran Khan batal protes besar-besaran elak huru-hara

Umum tarik diri daripada DUN sebagai usaha terbaru desak pilihan raya awal

ISLAMABAD, 2 Jamadilawal 1444H, Ahad – Bekas Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan membatalkan protes besar-besaran ke bandar Islamabad bagi mengelak keadaan menjadi lebih huru-hara.

Pada masa sama, beliau mengumumkan partinya menarik diri daripada Dewan Undangan Negeri (DUN) sebagai usaha terbaru mendesak pilihan raya lebih awal.

“Saya telah membuat keputusan untuk tidak berarak ke Islamabad kerana saya tahu akan menyebabkan keadaan huru-hara selain membawa kerugian kepada negara.

“Kami juga telah memutuskan untuk tidak menjadi sebahagian daripada sistem pentadbiran negara ini dan keluar daripada semua sistem rasuah ini,” katanya dalam penampilan sulung di khalayak awam sejak kejadian cubaan membunuhnya, 4 November lalu.

Parti Pakistan Tehreek-e-Insaf (PTI) telah menarik diri daripada Parlimen Persekutuan namun kekal berkuasa di dua wilayah – Gilgit-Baltistan dan Kashmir yang ditadbir oleh Pakistan.

Ketika berucap di hadapan ribuan penyokong, bekas Perdana Menteri itu turut menegaskan keadaan huru-hara bukan menjadi kepentingan memandangkan Pakistan kini berdepan krisis ekonomi yang teruk.

Negara Asia Selatan itu kini berdepan situasi ekonomi kritikal – inflasi yang melambung tinggi sehingga perlu mendapatkan bantuan kewangan daripada Tabung Kewangan Dunia (IMF), Ogos lalu.

Sebelum ini, pemimpin utama PTI telah mengadakan protes besar-besaran menuntut kerajaan melaksanakan pilihan raya  baharu sejak Imran disingkirkan April lalu.

Malah, Imran mendakwa penyingkirannya dibuat sebagai sebahagian daripada konspirasi yang dipimpin Amerika Syarikat (AS). – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button