Berita Utama

Dong Zong jangan rakus tuntut UEC

Jangan kerana orang politik Dasar Pendidikan jadi mundur

BANGI, 3 Jamadilawal 1444H, Isnin – Dong Zong diingatkan tidak terlalu rakus menuntut perkara yang sia-sia sehingga menyebabkan sistem pendidikan negara terganggu.

Ini kerana gesaan supaya kerajaan mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) dan peruntukan kekal kepada sekolah aliran persendirian boleh menimbulkan satu keadaan yang mengancam keharmonian.

Terutamanya mengakibatkan jurang semakin besar kepada pelbagai kaum yang disebabkan perbezaan silibus dan bahasa di Malaysia.

Justeru, Ketua Wira Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Muhamad Syafiq Ibrahim berpendapat, adalah lebih wajib jika sistem pendidikan disatukan dengan satu aliran sahaja.

Beliau yakin sekiranya ia dilaksanakan, perpaduan kaum di Malaysia ini akan lebih baik dan terjamin bagi generasi mendatang.

“Negara perlu mengamalkan hanya sistem ‘satu aliran pendidikan kebangsaan’ sahaja yang baik bagi mengutamakan pengkhususan untuk menyatukan semua bangsa dan dapat diseragam serta disepadukan dengan baik.

“Tidak lupa juga sentiasa mendaulatkan Bahasa Melayu untuk melaksanakan usaha memartabatkan bahasa kebangsaan dan bahasa pengantar utama bagi semua masyarakat di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan golongan ahli politik yang bersembunyi di sebalik isu pengiktirafan UEC, supaya tidak mengamalkan cara berpolitik sempit yang bersifat untuk kepentingan peribadi tanpa mengambil kira dan memikirkan mengenai tanah air dan kesannya kepada generasi akan datang.

“Jangan kerana orang politik, Dasar Pendidikan Negara menjadi mundur,” katanya.

Syafiq juga mendesak dan mengingatkan kepada Menteri Pendidikan yang bakal dilantik supaya tidak sesekali melayan gesaan pelaksanaan UEC.

Menurutnya, jelas dan nyata pengiktirafan UEC tidak wajar dan sangat bercanggah dengan aspirasi Dasar Pendidikan Negara dan Dasar Kebudayaan kebangsaan selain dianggap satu langkah ke belakang.

“Menteri Pendidikan juga harus mengkaji semula dan mengambil kira Perlembagaan dan undang-undang serta kepentingan kedaulatan negara dalam membuat keputusan atau melayan berkaitan pengiktirafan ini.

“Satu agenda utama, Menteri Pendidikan harus sentiasa memperkasa dan fokus menambah baik sistem institusi pendidikan negara yang sedia ada,” katanya.

Terdahulu, Dong Zong dilaporkan menggesa kerajaan baharu mengiktiraf UEC dan memberi peruntukkan secara kekal.

Menurut laporan Sin Chew Daily, mesyuarat bersama Dong Zong kali ke-93 sebulat suara meluluskan dan menerima 11 cadangan termasuk menggesa kepimpinan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) mengiktiraf sijil UEC dan menginstitusikan peruntukan Sekolah Menengah Cina Persendirian secepat mungkin.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button