Berita UtamaIstimewa

Siapa gatal mulut mahu iktiraf UEC kalau bukan PH?

Ini baharu satu contoh, banyak lagi tuntutan lain...tunggu dan lihat

BANGI, 3 Jamadilawal 1444H, Isnin – Prof Dr Ridhuan Tee mempersoalkan tindakan ‘tak sedar diri’ Dong Zong tanpa segan silu mendesak kerajan mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) dan peruntukan tahunan – walhal Kabinet belum lagi dibentuk.

Tidak cukup dengan itu, Hua Zong pula meminta kerajaan baharu memberi peruntukan yang diperlukan untuk memulihkan tiga universiti yang dikendalikan oleh komuniti Cina.

Tiga universiti itu ialah Southern University College, New Era University College dan Han Chiang University College of Communication, yang kesemuanya menerima RM6 juta selama dua tahun berturut-turut apabila Pakatan Harapan (PH) berkuasa pada 2018.

Desakan itu sekali gus membuatkan rakyat ternanti-nanti tindakan kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas ini, kata penganalisis politik, Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah.

Ia berikutan berdasarkan manifesto PH pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), gabungan itu mahu meneruskan usaha mengiktiraf UEC sebagai syarat am kelayakan untuk memasuki institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

“Persoalannya siapa yang gatal mulut mahu mengiktiraf sijil tersebut kalau bukan PH?

“Kita mahu tengok, apakah PH benar-benar akan mengiktiraf sijil ini,” katanya.

Pada masa sama, beliau hairan apabila Dong Zong mahu kerajaan menanggung semua keperluan mereka walhal UEC sendiri yang memilih untuk keluar daripada sistem pendidikan negara.

“Sekolah agama kita, semuanya perlu tertakluk kepada keperluan sistem pendidikan negara. Tiba-tiba sijil yang terlalu perkauman ini, yang tidak memenuhi keperluan pendidikan negara diminta untuk disahkan dan diberikan peruntukan kekal.

“Apapun, semua itu sudah tercatat dalam manifesto PH. Sekali lagi saya ulang, apakah kerajaan pimpinan minoriti PH akan memenuhi kehendak ultra kiasu Dong Zong ini?” soalnya.

Prof Ridhuan Tee juga menegaskan bahawa UEC dan kolej universiti dikendalikan komuniti Cina langsung tidak berperlembagaan berbanding sekolah agama yang ada setengahnya ibarat hidup segan mati tak mahu.

“Ini baharu satu contoh, banyak lagi tuntutan lain yang akan dikemukakan oleh ultra kiasu tidak lama lagi. Tunggu dan lihat.

“Rakyat perlu bangun menentang kemungkaran ini. Kolej Universiti dan UEC tidak membantu pembinaan negara bangsa,” tegasnya.

Pautan berkaitan;
https://ismaweb.net/2022/11/28/siapa-mainkan-isu-agama-kaum-dalam-pru15-ph-atau-pn-cakap-baik-baik/

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button