Berita Utama

90 tan abu al-Quran, buku agama rosak dilupus ke dalam laut

Proses lupus ambil masa hampir setahun dengan kos RM900,000

BANGI, 4 Jamadilawal 1444H, Selasa – Sebanyak 90 tan metrik abu al-Quran dan buku agama yang rosak akibat banjir tahun lalu, telah dilupuskan dengan dilepaskan di perairan kira-kira 13 batu nautika berdekatan Pulau Angsa.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal Selangor, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, abu berkenaan dihasilkan daripada kira-kira 350 tan metrik mushaf al-Quran dan buku agama yang rosak.

“Kita mengambil masa hampir setahun untuk menyelesaikan proses mengering, membakar sebelum abu itu dikumpulkan dan dimampatkan berikutan banyak al-Quran dan buku-buku agama yang rosak.

“Kos bagi proses ini mencecah RM900,000 dan abu ini dilupuskan di tengah laut secara berperingkat. Hari ini adalah dan yang terakhir,” katanya seperti dilapor Berita Harian (BH).

Bagaimanapun, beliau berkata, kos bagi program pelupusan itu dibiayai hasil sumbangan Lembaga Zakat Selangor (LZS); Gas Malaysia dan Tabung Infak Jariah Umat Islam Selangor (TIJARI).

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Samsul Muhaimin Abdullah Saleh berkata, pada kali ini, pelepasan abu dilaksanakan lebih sempurna dengan menggunakan gelongsor yang dibina khas.

“Gelongsor ini adalah inovasi daripada pihak Qaf International Sdn Bhd, bagi menyantuni abu al-Quran dengan lebih sempurna

“Sebelum ini, kita hanya lontarkan abu ini tetapi selepas diperhalusi, cara menggunakan gelongsor ini lebih sopan dan sempurna,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button