Jannah Theme License is not validated, Go to the theme options page to validate the license, You need a single license for each domain name.
Berita Utama

Kerajaan Perpaduan hipokrit jika ‘tunduk’ iktiraf UEC

PEMBELA gesa tubuh jawatankuasa siasat desakan melampau Dong Zong

BANGI, 4 Jamadilawal 1444H, Selasa – Belum lagi tertubuh Kerajaan Perpaduan, Dong Zong dengan gelojoh terus mendesak pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) dan mahu pembiayaan kekal kepada sekolah pendidikan Cina yang membelakangkan bahasa kebangsaan.

Justeru, timbul persoalan sama ada kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu berkompromi dengan pihak yang menolak Akta Pendidikan negara, sistem pendidikan kebangsaan serta menambah kecelaruan yang sedia ada.

Sekretariat PEMBELA dalam satu kenyataan menyifatkan, adalah ironi, janggal dan hipokrit sekiranya tuntutan yang merosakkan agenda perpaduan negara dibenarkan oleh kerajaan yang menamakan dirinya sebagai Kerajaan Perpaduan.

Ini berikutan pengiktirafan UEC adalah pengkhianatan kepada negara dan berlawanan kehendak Raja-Raja Melayu kerana bersifat subversif serta meremeh, memperlekeh dan jelas tidak mengutamakan bahasa kebangsaan.

Sedangkan sudah dipersetujui sebelum ini formula mengukuhkan perpaduan mesti kembali kepada Akta dan Dasar Pendidikan, yang menekankan penggunaan bahasa kebangsaan, kurikulum serta sistem peperiksaan yang selaras dengan Perlembagaan.

UEC sebaliknya membawa silibus yang menyeleweng dari luar negara dan tidak mengguna bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar.

“PEMBELA ingin mengingatkan mukadimah kepada Falsafah Pendidikan Negara 1988 menyatakan dengan jelas perpaduan sebagai matlamat utama negara.

“Ia berdasarkan kepada Penyata Razak (1956) dan Laporan Rahman Talib (1960) yang menjadi asas kepada pembentukan sistem dan Dasar Pelajaran Kebangsaan seperti termaktub dalam Akta Pelajaran 1961 sebelum ini.

“Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) juga dengan jelas menekankan peranan penting pendidikan untuk menyatupadukan rakyat bagi memastikan wawasan negara dapat dijayakan,” katanya.

Selain itu, pengiktirafan UEC juga akan merencatkan tiga fasa gelombang transformasi pendidikan yang telah dipacu sejak 2013 mengikut Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.

Bidang keberhasilan sistem yang disasarkan turut menekankan mengenai aspek perpaduan harus dicapai, akan digagalkan dengan pengiktirafan UEC ini.

“PEMBELA berpandangan pengiktirafan UEC akan mewujudkan persaingan tidak wajar dalam pengajian tinggi dan pekerjaan kepada lepasan Sekolah Menengah Kebangsaan yang tidak menurut acuan kenegaraan. Ini mesti dihentikan.

“Soal pembiayaan tidak harus timbul langsung dalam hal ini memandangkan ianya tidak selaras dengan aspirasi negara,” katanya.

Dengan itu, PEMBELA mendesak agar Kerajaan Perpaduan kekal tidak mengiktiraf UEC demi memelihara kedudukan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, Akta dan Dasar Pendidikan serta Dasar Bahasa Kebangsaan.

Gabungan lebih 50 pertubuhan Islam itu juga menyarankan pihak kerajaan mengambil serius perkara ini dan tidak melayan sebarang permintaan pembiayaan kerana obligasi negara adalah kepada mereka yang mengikut dasar-dasar negara dan bukan sebaliknya.

PEMBELA turut menggesa penubuhan sebuah jawatankuasa untuk menyiasat agenda sebenar di sebalik tuntutan-tuntuan melampau Dong Zong yang menjejaskan cita-cita perpaduan negara sebagaimana yang dihasratkan oleh Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja.

Berita berkaitan;

Arus tolak UEC kali ini mesti besar, lebih keras: Aminuddin

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button