Berita Utama

Desakan iktiraf UEC petanda buruk masa depan pendidikan negara

Kerajaan perlu pertahan hak pendidikan nasional: Rais Yatim

KUALA LUMPUR, 5 Jamadilawal 1444H, Rabu – Tan Sri Rais Yatim menempelak pihak yang berterusan mendesak pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) kerana ia berisiko dan petanda buruk kepada masa depan pendidikan negara.

Yang Dipertua Dewan Negara itu berkata, kerajaan tidak boleh berdiam diri, sebaliknya perlu bersedia mempertahankan hak pendidikan nasional yang mengandungi sifat asas.

“Saya dapati tuntutan itu berbentuk menggertak sedangkan kerajaan baharu sahaja dibentuk. Ia mencerminkan pendirian ‘opportunist’ mereka, isu pengiktirafan ini menyentuh berhubung kestabilan pendidikan negara dan perlu diteliti lebih mendalam.

“Namun saya percaya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sudah biasa dengan ‘gelagat’ ini. Kerajaan melalui Kementerian Pendidikan kelak perlu mengambil kira untuk menubuhkan satu jawatankuasa bagi menjawab segala tuntutan ini,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Pada masa sama, Rais berkata, pihaknya mahu isu berhubung pengiktirafan ini menemui titik noktah kerana ia tidak boleh menyebabkan berlakunya situasi duri dalam daging apabila gesaan mengenainya sering dibangkitkan.

Beliau berkata, UEC dilihat boleh menyebabkan pertembungan terhadap sistem peperiksaan sedia ada yang diamalkan dalam pendidikan negara.

Tegasnya, negara tidak memerlukan terlalu banyak peperiksaan kerana intipati tertentu dalam UEC itu boleh diserapkan dalam sistem pendidikan nasional.

“Kenapa perlu dibuat dua peperiksaan di negara ini, sedangkan saya yakin ada perkara dalam UEC yang boleh diserapkan sahaja dalam sistem pendidikan.

“Saya suka menggesa supaya pendidikan di sekolah kebangsaan perlu dibuat pembetulan di semua peringkat supaya pelajar Cina, misalnya berminat untuk belajar di sekolah kebangsaan.

“Kita tidak mahu menerima pensijilan, mereka namun saya tidak nampak adanya peningkatan standard bagi capaian pendidikan di sekolah kebangsaan, sebaliknya ramai pula pelajar Melayu yang beralih ke sekolah jenis kebangsaan.

“Saya rasa ini satu dilema yang perlu diatasi oleh menteri pendidikan baharu nanti apabila selesainya pembentukan Kabinet kelak,” katanya.

Berita berkaitan:

UEC ancam kedaulatan negara

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button