Berita Utama

Annuar Musa buat pusingan U, sokong kerajaan PH-BN

Mahu wakil UMNO dipilih mengikut keutamaan hierarki partinya

BANGI, 6 Jamadilawal 1444H, Khamis – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diingatkan supaya memilih wakil UMNO dalam kerajaan mengikut keutamaan hierarki parti, demikian kata Tan Sri Annuar Musa.

Pandangan yang disuarakan oleh Bekas Setiausaha Agung UMNO itu sangat mengejutkan kerana sebelum ini beliau lantang mengesa Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berundur.

Tetapi kini, beliau dilihat membuat pusingan U dan menyokong Kerajaan Perpaduan antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

“UMNO melalui keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) telah membuat keputusan tuntas menyertai Kerajaan Perpaduan ini dan ia keputusan parti yang wajar dihormati, bukan sahaja oleh ahlinya tetapi juga oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengetuai Kerajaan Perpaduan.

“UMNO tidak harus dipandang enteng atau ‘to be taken for granted’. UMNO juga tidak harus diterima separuh separuh.

“Umpama semangkuk gulai, jangan kuah di ambil tapi isi nak dibuang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Atas dasar itu, beliau yang juga bekas Ahli Parlimen Ketereh menjelaskan pemilihan wakil UMNO dalam kerajaan wajar mengikut keutamaan hierarki partinya.

Terdahulu, Anwar yang mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-10 pada 24 November lalu memberi bayangan akan membentuk barisan Kabinet dalam masa terdekat.

Hal demikian dipercayai bagi membolehkan Kabinet Kerajaan Perpaduan dapat dibentuk segera berikutan Yang di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dijangka ke luar negara dalam masa terdekat.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button