Berita Utama

Calon Menteri Pendidikan mesti jelas dasar, falsafah pendidikan negara

Jika iktiraf UEC langgar Perlembagaan, maka menteri tak perlu ikut manifesto

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 6 Jamadilawal 1444H, Khamis – Calon Menteri Pendidikan dalam kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim mesti menjunjung tinggi Perlembagaan serta memahami dengan jelas dasar dan falsafah pendidikan negara.

Pengerusi Biro Pembangunan Ummah dan Komuniti Majlis Perundingan Melayu (MPM), Kamal Shukri Abdullah Sani menegaskan, tidak kira daripada parti atau pihak mana sekalipun, Menteri Pendidikan tidak sewajarnya mengutamakan populariti, undi dan manifesto – yang bukan satu kewajipan.

Ia termasuk tuntutan mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) yang bertentangan dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan dan Akta Pendidikan 1996 (Akta 550).

“Jika mengiktiraf UEC itu melanggar Perlembagaan dan undang-undang negara maka mana-mana menteri tidak perlu ikut. Kalau ikut maknanya menteri itu sendiri melanggar dan sepatutnya didakwa.

“Jika rakyat melanggar undang-undang akan dipersalahkan, adakah menteri boleh sewenang-wenangnya melanggar peraturan dan Perlembagaan,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Beliau menyuarakan pandangan itu susulan manifesto Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang mahu meneruskan usaha mengiktiraf UEC sebagai syarat am kelayakan untuk memasuki institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Isu itu kembali hangat selepas Dong Zong menggesa kerajaan baharu mengiktiraf UEC dan memberi peruntukan kekal kepada sekolah aliran persendirian Cina.

Menurut laporan Sin Chew Daily, mesyuarat bersama Dong Zong kali ke-93 sebulat suara meluluskan dan menerima 11 cadangan termasuk menggesa Pengerusi Pakatan Harapan (PH) mengiktiraf UEC serta menginstitusikan Sekolah Menengah Persendirian Cina secepat mungkin.

Dalam pada itu, Kamal berharap Perdana Menteri menasihati anggota Kabinet yang bakal dibentuk supaya mematuhi Perlembagaan Persekutuan.

“Sekiranya undang-undang tertinggi di negara ini tidak dihormati oleh menteri, kepada siapa lagi kita nak harapkan jadi contoh kepimpinan dan teladan kepada rakyat,” katanya.

Terdahulu, Anwar Ibrahim berkata, pembentukan Kabinet Kerajaan Perpaduan akan dibuat secepat mungkin selepas mengambil kira pandangan daripada semua parti dalam kerajaan.

Perdana Menteri berkata, perkara itu harus diteliti memandangkan saiz Kabinet dalam Kerajaan Perpaduan akan dikecilkan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button