Keputusan BN bersama PH kecewakan orang Melayu: Shahidan Kassim
‘UMNO di peringkat mana kata Yes Anwar, Yes DAP?’

BANGI, 6 Jamadilawal 1444H, Khamis – Keputusan Barisan Nasional (BN) dan UMNO untuk bersama-sama dengan Pakatan Harapan (PH) dalam Kerajaan Perpaduan Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat sebagai tindakan mengecewakan akar umbi orang Melayu dan parti.
Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, tindakan berkenaan adalah perbuatan mengkhianati keputusan Majlis Kerja Tertinggi serta Perhimpunan Agung UMNO (PAU) yang secara jelas menyatakan tidak akan menjalinkan kerjasama dengan DAP dan Anwar.
“Saya hendak beritahu bahawa banyak orang telah dihukum. Saya sendiri telah di-boo ketika Perhimpunan Agung UMNO kerana pada pandangan saya melawan arus.
“Kita dapati bahawa ‘No Anwar’ dan ‘No DAP’ adalah keputusan yang dibuat di dalam PAU dan telah diputuskan selain telah disokong di peringkat Majlis Tertinggi (MT).
“Saya nak bertanya, di mana peringkat yang mengatakan tidak kepada keputusan ini, dan mengatakan bahawa ‘Yes Anwar, Yes DAP’? Ini mengecewakan orang UMNO dan orang Melayu yang menyokong UMNO,” katanya.
Terdahulu, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan kerjasama yang dibentuk antara BN dan PH yang merangkumi DAP pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), tidak akan menghilangkan identiti serta mengabaikan prinsip parti itu.
Beliau meminta semua pihak memahami prinsip menolak sebarang kerjasama dengan PKR, DAP dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) adalah untuk berdepan PRU15, dan bukannya selepas PRU15.
Justeru, Shahidan yang merupakan Ahli Parlimen Arau itu menegaskan kekecewaan dalam kalangan akar umbi UMNO dan orang Melayu akan menyebabkan parti terbesar orang Melayu itu kerugian besar.
Malah, jelas beliau sokongan berkenaan akan berpindah kepada PN yang dilihat sebagai wadah terbaik penyatuan ummah buat masa ini.
Shahidan berkata, kemenangan besar PN di beberapa negeri adalah gambaran jelas terhadap penolakan rakyat dan juga akar umbi terhadap PH dan BN yang membentuk kerajaan ketika ini.