Berita Utama

Kerajaan hari ini kerajaan minoriti, bukan perpaduan: PAS

‘Tiada parti yang mempunyai kerusi cukup untuk bentuk sebuah kerajaan’

BANGI, 6 Jamadilawal 1444H, Khamis – PAS menidakkan kerajaan baharu hari ini yang ditadbir Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Kerajaan Perpaduan.

Sebaliknya, Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menyifatkan kerajaan baharu, hari ini sebagai kerajaan minoriti berikutan tiada parti mempunyai kerusi yang cukup untuk membentuk sebuah kerajaan.

“Mungkin mereka mempunyai kepercayaan majoriti. Majoriti tidak semestinya majoriti mudah dan boleh jadi majoriti dalam kalangan lain-lain.

“Pakatan Harapan (PH) mempunyai 82 kerusi, Perikatan Nasional (PN) pula mempunyai 73 kerusi. Maka, ketua PH ada majoriti, namun belum boleh membentuk kerajaan.

“Sebab itu saya katakan kerajaan sekarang bukan Kerajaan Perpaduan, sebaliknya kerajaan minoriti,” katanya seperti dipetik Berita Harian, hari ini.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kota Bharu itu menegaskan sehingga kini pihaknya tidak menerima maklumat berhubung usul undi percaya di Dewan Rakyat pada 19 Disember ini.

“Bagi saya, apabila seorang Perdana Menteri membawa usul berkenaan ke Parlimen, itu bermakna Perdana Menteri yang sedia ada itu belum mempunyai kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.

Katanya, dalam Perlembagaan untuk melantik seorang Perdana Menteri oleh Yang di-Pertuan Agong, individu berkenaan mungkin mempunyai kepercayaan Ahli Dewan Rakyat.

Malah, katanya sebagai alternatif, Perdana Menteri itu perlu membawa usul ke Parlimen untuk melihat sokongan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button