Berita Utama

Majlis Raja-Raja wajar diberi peranan dalam pelantikan JAC

Selaras dengan kedudukan Malaysia sebagai sebuah Persekutuan: Pakar Perlembagaan

BANGI, 6 Jamadilawal 1444H, Khamis – Majlis Raja-Raja wajar diberikan peranan dalam pelantikan ahli Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) bagi memastikan doktrin pemisahan kuasa antara eksekutif dan kehakiman dapat mencerminkan tadbir urus yang lebih baik.

Pembabitan Majlis Raja-Raja dalam menamakan keahlian JAC dilihat selaras dengan kedudukan Malaysia sebagai sebuah Persekutuan, kata Pakar Perlembagaan, Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain.

Bagaimanapun, beliau berkata, tidak semestinya pelantikan JAC perlu diagihkan secara khusus setiap satu kepada wakil Majlis Peguam, Persatuan Peguambela Sarawak dan Persatuan Undang-Undang Sabah.

Tetapi, kuasa melantik itu wajar diberikan kepada Majlis Raja-Raja dengan mengambil kira adanya wakil daripada pengamal undang-undang selepas meneliti usul daripada tiga badan berkenaan serta calon dikemukakan oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Majlis Raja-Raja sendiri.

Semalam, Pengerusi Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-260, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir mencadangkan pelantikan lima daripada sembilan ahli JAC tidak lagi dilakukan Perdana Menteri.

Baginda bertitah, pelantikan berkenaan diberikan tanggungjawab kepada beberapa institusi lain, seperti Majlis Peguam Malaysia, Persatuan Undang-Undang Sabah, Persatuan Peguambela Sarawak dan Jawatankuasa Pemilih Parlimen.

Dr Wan Ahmad Fauzi berkata, saranan Tuanku Muhriz itu adalah pendekatan yang baik dan langsung tidak mengubah kerangka sedia ada dalam pelantikan hakim di sisi Perlembagaan.

Katanya lagi, peranan JAC tidak boleh bercanggah dengan peruntukan Perlembagaan dalam pelantikan hakim yang masih memerlukan Yang di-Pertuan Agong bertindak mengikut nasihat Perdana Menteri selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja.

Malah, pelantikan pesuruhjaya kehakiman yang dibuat Yang di-Pertuan Agong juga perlu mengikut nasihat Perdana Menteri selepas berunding dengan Ketua Hakim Negara.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button