Berita UtamaDunia

Lapan pejuang Palestin terbunuh dalam tempoh 72 jam

Rejim Zionis tembak mati lagi dua penduduk Palestin

JENIN, 7 Jamadilawal 1444H, Jumaat – Tentera rejim Zionis menembak mati dua rakyat Palestin ketika serbuan di bandar Jenin di Tebing Barat yang diduduki semalam.

Mohammed Ayman al-Saadi, 26, dan Naeem Jamal al-Zubaidi, 27, terbunuh dalam pertempuran bersenjata yang meletus di bandar itu sejurus selepas jam 2 pagi waktu tempatan berikutan pencerobohan besar oleh tentera Israel ke bandar berkenaan.

Briged Jenin – kumpulan bersenjata tempatan yang kebanyakannya terdiri daripada anggota Jihad Islam – mengesahkan Ayman adalah komander medan dan Jamal pula ketua kanan dalam kumpulan itu.

Mereka merupakan rakyat Palestin ketujuh dan kelapan dibunuh di Tebing Barat dalam tempoh 72 jam lepas.

Satu mogok umum telah diumumkan di Jenin bagi meratapi kematian kedua-dua pejuang itu.

Tentera Israel mendakwa, anggotanya memasuki bandar Wadi Burqin berhampiran kem pelarian Jenin untuk menangkap tiga rakyat Palestin kemudian diserang sebelum bertindak balas dengan tembakan.

Tentera menjalankan operasi serbuan dan penangkapan di seluruh Tebing Barat pada setiap malam dan mereka sering membawa kepada kecederaan atau pembunuhan rakyat Palestin.

Rabu lalu, Mohammad Tawfiq Badarnah terbunuh dalam serbuan di bandar Yabad di barat Jenin.

Sehari sebelumnya, lima warga Palestin ditembak mati dalam insiden berasingan di Tebing Barat, termasuk dua beradik.

Kematian minggu ini berlaku di tengah-tengah lonjakan keganasan Israel terhadap rakyat Palestin di Tebing Barat tahun ini dan kebangkitan semula penentangan bersenjata Palestin.

Menurut Kementerian Kesihatan Palestin, tentera dan peneroka haram Israel telah membunuh 158 rakyat Palestin, termasuk sekurang-kurangnya 30 kanak-kanak, di Tebing Barat pada 2022.

Seramai 49 lagi rakyat Palestin terbunuh ketika serangan bom Israel ke atas Gaza pada Ogos lalu. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button