Berita Utama

SKMM percepat kajian tangani kandungan berbaur provokatif

Meliputi kesesuaian hukuman, keperluan undang-undang baharu

BANGI, 7 Jamadilawal 1444H, Jumaat – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) komited mempercepatkan kajian ke atas kerangka pengurusan kandungan dalam talian bagi menangani kandungan berbaur provokatif yang menyebarkan isu perkauman dan mewujudkan perpecahan di kalangan masyarakat di negara ini.

Pengerusinya, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din berkata, pihaknya menyedari mengenai peningkatan aktiviti memuat naik kandungan bersifat mengancam dan provokatif yang semakin berleluasa di dalam talian ketika ini.

Justeru, sudah tiba masanya kerangka kawal selia semasa perlu dikaji semula, mengambil kira keadaan di alam siber yang dilihat luar kawalan dan memungkinkan penyebaran kandungan mengancam keselamatan serta keharmonian negara, ekstremisme dan palsu.

“Kajian ini meliputi kerangka kawal selia dalam aspek pelesenan, kesesuaian hukuman atau penalti semasa serta keperluan untuk memperkenalkan undang-undang baharu.

“Mutakhir ini, kita melihat perkembangan serantau di mana negara-negara seperti Indonesia, Singapura dan Australia telah memperkenalkan undang-undang secara langsung dalam mengawal selia platform penyedia perkhidmatan media sosial agar mereka lebih bertanggungjawab dan dipertanggungjawabkan dalam menguruskan kandungan yang mengancam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, langkah itu bertujuan untuk menghindari orang ramai daripada bersifat melampau dan menyebarkan pandangan berbaur provokatif ketika berada dalam talian.

“Sesungguhnya, Malaysia amat bertuah kerana mempunyai kepelbagaian dari aspek etnik, budaya, kepercayaan mahupun bahasa.

“Oleh itu, MCMC menyeru semua pihak untuk sama-sama menghormati dan menerima kepelbagaian, keterangkuman, perasaan hormat kepada kaum, agama dan institusi raja.

“Kita boleh mencapai matlamat ini dengan mengamalkan prinsip-prinsip Rukun Negara yang mana Rukun Negara bertujuan untuk mewujudkan keharmonian dan perpaduan dalam masyarakat berbilang kaum di Malaysia,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button