Berita UtamaDunia

Taliban haramkan saluran radio VOA, RFE di Afghanistan

Desak tarik balik larangan, tuntut kebebasan media

KABUL, 7 Jamadilawal 1444H, Jumaat – Taliban mengharamkan agensi berita antarabangsa, Voice of America (VOA) dan penyiaran Radio RFE daripada menyiarkan berita berkaitan Afghanistan.

Larangan berkuat kuasa semalam apabila Kementerian Penerangan dan Kebudayaan mengalih keluar kedua-dua stesen daripada rangkaian penghantaran AM dan FM.

Sementara itu, pihak VOA yang memetik pihak berkuasa Taliban berkata, larangan dibuat berikutan menerima aduan berkait dengan kandungan program.

Kedua-dua VOA dan RFE dibiayai oleh kerajaan Amerika Syarikat (AS), beroperasi dengan kebebasan etika kewartawanan dan bertujuan untuk menyediakan liputan menyeluruh dan seimbang.

Dalam pada itu, Penyelaras Program Radio Asia, CPJ Beh Lih Yi membantah tindakan itu dan menggesa Taliban menarik balik larangan berkenaan.

Katanya, maklumat yang disiarkan mampu memberi pengetahuan kepada masyarakat selain boleh menyelamatkan nyawa daripada keganasan berterusan di negara bergolak itu.

Langkah mengalih keluar stesen radio menunjukkan Taliban tidak menunaikan janji sebelum ini dengan memberi jaminan kebebasan akhbar di Afghanistan, dakwanya.

Perkhidmatan radio RFE yang dikenali sebagai Azadi merupakan saluran media popular dalam kalangan rakyat Afghanistan yang menyiarkan pelbagai maklumat selama 12 jam sehari menerusi 15 saluran FM.

Saluran berkenaan turut menyediakan pelbagai program dan maklumat termasuk kesihatan awam hingga isu pendidikan sekolah untuk pelajar perempuan, dengan menggunakan bahasa tempatan iaitu Dari dan Pashto. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button