Berita Utama

iGuru harap Fadhlina Sidek tumpu pulih, angkat kualiti pendidikan

Fokus isu sekolah daif di pedalaman, perkasa profesionalisme guru

BANGI, 8 Jamadilawal 1444H, Sabtu – Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru) berharap Menteri Pendidikan baharu mampu menumpukan fokus kepada usaha pemulihan dan mengangkat kualiti pendidikan negara.

Justeru, Presiden iGuru, Ustaz Mohd Azizee Hasan berkata, beberapa aspek utama perlu diberi perhatian oleh Fadhlina Sidek dalam usaha mengangkat kualititi pendidikan di negara ini.

Beliau berkata, ini termasuklah memperkasa profesionalisme guru membabitkan aspek kebajikan dan kesihatan mental serta meningkatkan prasarana fizikal dan digital antara sekolah bandar dan luar bandar.

Selain itu, Mohd Azizee turut menyarankan Fadhlina menangani isu sekolah daif di kawasan pedalaman, mengatasi masalah kepadatan murid di sekolah bandar serta mewujudkan program pemulihan bagi isu keciciran murid.

Beliau turut mengharapkan menteri baharu mampu menjadikan sekolah kebangsaan sebagai pilihan semua rakyat Malaysia, selain mengukuhkan jaringan erat antara Kementerian Pendidikan (KPM), Jabatan Pendidikan Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah, sekolah serta komuniti.

“Komitmen dan kesungguhan YB Menteri serta tekad politik penentu kejayaan dalam memperkasa dan mengangkat kualiti pendidikan negara.

“iGuru menggesa YB Menteri kerap turun ke lapangan, selami denyut nadi warga pendidikan serta mengambil langkah aktif dan proaktif agar segala cabaran dunia pendidikan dapat diatasi dan dicari solusi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada masa sama, beliau turut mengucapkan tahniah kepada Fadhlina atas pelantikannya menerajui Kementerian Pendidikan di bawah kerajaan campuran yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“iGuru merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada YB Puan Fadhlina Sidek atas pelantikan sebagai Menteri Pendidikan baharu yang merupakan juga menteri pertama wanita mengetuai sektor pendidikan.

“Justeru itu, pihak iGuru berharap YB Menteri dapat menentukan hala tuju pendidikan negara dengan lebih berfokus, terancang dan memenuhi keperluan semasa supaya diangkat kualiti pendidikan bertaraf global dan kalis masa depan,” katanya.

Dalam pengumuman Kabinet semalam, Anwar mengumumkan pelantikan Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal sebagai Menteri Pendidikan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button