Berita Utama

Hasrat DAP mahu pilihan raya PBT bakal terlaksana?

Kabinet 'Reformasi' pasti gembirakan pengundi PH, sinis Timbalan Ketua Pemuda PAS

BANGI, 9 Jamadilawal 1444H, Ahad – Dewan Pemuda PAS secara sinis menyindir barisan Kabinet kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan menyifatkannya cukup mantap dan membawa semangat reformasi.

Timbalan Ketuanya, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, pengumuman Kabinet itu pasti memberikan ‘kelegaan dan kegembiraan’ kepada rakyat khususnya pengundi Pakatan Harapan (PH).

Terutama katanya, pada mereka yang tekad melawan kleptokrasi dan mahukan semangat reformasi dalam pentadbiran kerajaan baharu.

“Reformasi terbesar Kabinet Kerajaan Campuran kali ini adalah dengan pelantikan Datuk Seri (Ahmad) Zahid Hamidi, Presiden UMNO yang berdepan 47 pertuduhan di mahkamah dalam kes Yayasan Akalbudi, sebagai Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.

“Pelantikan ini selaras tawaran kedua dalam 10 Manifesto Pakatan Harapan, iaitu untuk memerangi rasuah dan mengukuhkan institusi demokrasi.

“Selain itu, Kabinet ‘reformasi’ ini juga turut dianggotai Nga Kor Ming, pemimpin DAP ekstrem yang masyhur dengan ceramah berbaur perkauman, sebagai Menteri Perumahan Kerajaan Tempatan.

“Ini bukti Pakatan Harapan sangat menyanjung perpaduan dan menolak perkauman,” sinisnya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Afnan mendakwa, dengan pelantikan itu hasrat DAP untuk melaksanakan Pilihan Raya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bakal terlaksana dengan jayanya.

“Kejayaan paling besar Kabinet ‘Reformasi’ ini, adalah apabila PH bertindak tidak meletakkan semula menteri-menteri mereka yang dicanang sebagai kejayaan dan kebanggan Kabinet PH 2020.

“Contohnya, (Datuk Seri) Dr Dzulkefly Ahmad tidak dipilih sebagai Menteri Kesihatan, walaupun menang di kerusi Kuala Selangor pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

“Sebaliknya, lawan beliau di kerusi Parlimen tersebut yang kalah dilantik pula menjadi menteri,” katanya.

Mengucapkan tahniah ke atas pembentukan Jemaah Menteri yang digelarnya ‘Kabinet Reformasi’ itu, beliau berkata, PAS akan terus memainkan peranannya semaksimum mungkin dalam menjadi pembangkang berwibawa.

“PAS akan menyemak imbang setiap tindak-tanduk Kerajaan Campuran PH-BN ini,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button