Berita Utama

Pelantikan Zahid isyarat kerajaan campuran Anwar tak stabil

Beri gambaran PH tak serius perangi rasuah, tiada pendirian tetap

BANGI, 10 Jamadilawal 1444H, Isnin – Kabinet yang dibentuk dalam kerajaan campuran didominasi Pakatan Harapan (PH) tidak menonjolkan kredibiliti Perdana Menteri ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sekali gus memberi isyarat bahawa kerajaan sebenarnya tidak stabil.

Bukan sahaja pertikaian terhadap pelantikan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi – yang terpalit 47 kes salah laku di mahkamah – sebagai Timbalan Perdana Menteri, bahkan keputusan Anwar memegang portfolio Kementerian Kewangan juga bercanggah dengan janji PH sebelum ini.

Kecewa dengan struktur baharu Kabinet itu, Presiden BERJASA, Zamani Ibrahim berkata, pelantikan Ahmad Zahid dalam dua jawatan di Kabinet – termasuk sebagai Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah – bertentangan dengan prinsip integriti yang sering dilaungkan Anwar dan PH.

Beliau berkata, langkah itu sekali gus memberikan gambaran bahawa kerajaan tidak serius dalam usaha memerangi rasuah dan tidak mempunyai pendirian yang tetap.

“Pelantikan ini juga memberi isyarat bahawa kerajaan yang dibentuk sebenarnya tidak stabil.

“Sokongan Ahmad Zahid dan UMNO dilihat amat penting untuk survival kerajaan Anwar, menyebabkan tangannya terikat dalam membuat keputusan-keputusan penting negara termasuk melantik timbalannya sendiri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, keputusan itu juga bercanggah dengan janji Anwar kononnya jawatan menteri tidak akan digunakan sebagai habuan untuk mendapat sokongan pihak atau parti tertentu.

“Portfolio Menteri Kewangan yang kini dipegang Anwar juga menimbulkan persoalan tentang pendirian PH terutamanya Rafizi Ramli terhadap pemisahan kuasa Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

“Pendirian ini penting dalam memastikan pengurusan kewangan melalui proses semak dan imbang supaya ianya berlaku secara telus dan tidak berat sebelah.

“Beberapa nama tokoh seperti Datuk Johari dan Dr Dzulkefly juga menimbulkan tanda tanya adakah pemilihan kali ini benar-benar berdasarkan merit, kelayakan akademik dan pengalaman seseorang untuk memimpin satu-satu kementerian,” katanya.

Menurut Zamani, beliau pasti pembentukan Kabinet ini dilihat sebagai penyokong Anwar berbanding berdasarkan kebolehan dan pengalaman kerja secara profesional setiap menteri.

“Bagaimanapun, BERJASA mengucapkan selamat bertugas kepada semua menteri yang telah dilantik dan berikrar untuk menjalankan tanggungjawab kepada rakyat dan negara.

“BERJASA akan terus memantau prestasi setiap menteri dalam kerajaan Anwar agar kepentingan negara sentiasa terjaga, terutamanya perkara-perkara berkaitan integriti, ketelusan, keadilan serta kedudukan istimewa orang Melayu dan Islam,” katanya.

Berita berkaitan;

Tahniah Anwar lantik barisan Kabinet mengecewakan

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button