Berita Utama

‘Tak masuk akal RM600 bilion wang rakyat diseleweng’

Dah tentu audit, BNM dapat notifikasi wang masuk ke akaun

BANGI, 10 Jamadilawal 1444H, Isnin – Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan dakwaan menyeleweng perbelanjaan hampir RM600 bilion ketika pentadbirannya.

Menyifatkan tuduhan itu tidak masuk akal, beliau berkata, sekiranya perkara itu berlaku, sudah tentu ia akan diketahui oleh Jabatan Audit Negara (JAN) dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dengan membentangkan laporan mengenainya di Parlimen.

Bahkan, menurut Muhyiddin, Bank Negara Malaysia (BNM) juga tentunya mendapat notifikasi mengenai pergerakan sejumlah besar wang masuk ke akaun beliau dan memulakan siasatan sejak lebih setahun lalu.

“Tidak ada satu sen pun wang ini masuk ke akaun peribadi saya.

“Tak masuk akal wang bantuan rakyat yang dimasukkan terus ke dalam akaun mereka boleh diseleweng masuk ke akaun saya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu menegaskan, tidak mungkin beliau menyeleweng wang berkenaan kerana ia adalah hak individu dan bank yang tidak membabitkan perbelanjaan kerajaan.

“Daripada keseluruhan RM530 bilion ini, sebahagian besarnya adalah berbentuk non-fiskal, iaitu tidak melibatkan perbelanjaan kerajaan.

“Ini termasuk pengeluaran KWSP i-Lestari, i-Sinar, i-Citra bernilai RM145 bilion, pengurangan pembayaran KWSP bernilai RM10 bilion, moratorium bayaran pinjaman bank untuk individu dan syarikat bernilai RM180 bilion, jaminan kerajaan untuk pinjaman syarikat bernilai RM80 bilion.

“…dan inisiatif-inisiatif lain yang bertujuan untuk meringankan beban yang ditanggung oleh individu dan perniagaan,” katanya.

Sebagai perdana menteri ketika itu, Muhyiddin menegaskan tiada sebarang kuasa ke atas penggunaan wang terbabit.

“Nak kata saya halang siasatan kerana saya Perdana Menteri pun tak betul. Kerana saya telah meletak jawatan sebagai Perdana Menteri lebih setahun yang lalu.

“Saya percaya pihak Kementerian Kewangan Malaysia khususnya Agensi LAKSANA mempunyai setiap butiran perbelanjaan bagi semua lapan Pakej Rangsangan Ekonomi yang dilaksanakan semasa saya menjadi Perdana Menteri,” katanya.

Katanya, beliau juga tidak takut untuk disiasat kerana mengetahui tiada duit rakyat yang diselewengkan ketika tempoh pemerintahannya.

“Cuma pesan saya kepada ahli-ahli politik PH dan UMNO, janganlah asyik menuding jari kepada orang lain dengan menuduh yang bukan-bukan semata-mata untuk menutup kelemahan kerajaan yang baru berusia beberapa hari ini, yang kelihatan masih belum ada idea bernas untuk menyelesaikan permasalahan rakyat.

“Sudah-sudahlah bermain wayang politik kerana rakyat mahu lihat apa perancangan kerajaan untuk mereka,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button