Berita Utama

Anwar kena telus, tegur juga taikun lain monopoli perniagaan

Siasat isu kartel telur, ayam hingga wujud kenaikan harga

BANGI, 11 Jamadilawal 1444H, Selasa – Parti BERJASA mengharapkan Datuk Seri Anwar Ibrahim bersikap lebih telus dalam memecahkan monopoli perniagaan membabitkan semua taikun atau kartel di negara ini.

Meskipun memuji usaha Anwar itu, Setiausaha Agungnya, Zulkifli Yahya bagaimapun berpendapat, seeloknya Perdana Menteri dapat menegur juga taikun-taikun lain yang turut bersikap memonopoli perniagaan.

Ini kerana, sentimen taikun atau kapitalis yang jahat dilihat telah tertumpu kepada tokoh korporat, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary semata-mata kerana memonopoli import beras negara.

Sedangkan, ramai lagi taikun yang lain seperti Tan Sri Robert Kuok atau dikenali sebagai ‘raja gula’ yang memonopoli industri gula, katanya.

“Ananda Krishnan yang merupakan pemilik kepada syarikat penstriman televisyen terbesar negara iaitu Astro juga melaksanakan monopoli total dengan sehingga bertindak memberi amaran untuk menyaman kepada mana-mana pihak yang menjual Android Box.

“Di dalam ekonomi, pengguna berhak membuat pilihan dalam mendapatkan produk yang terbaik.

“Aduan berkenaan kualiti Astro sudah lama diperkatakan oleh rakyat dan pihak Astro dilihat tidak mengambil serius dalam soal kualiti produknya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas teguran Anwar terhadap Syed Mokhtar kerana memonopoli import beras di negara, dan memperuntukkan sebanyak RM10 juta bulan ini dan RM50 juta tahun depan kepada petani miskin.

Menurut Zulkifli, sepatutnya kerajaan memandang serius terhadap sikap monopoli seumpama itu.

Pada masa sama, beliau juga menggesa kerajaan menyiasat isu kartel telur atau ayam yang dilihat terdapat unsur-unsur monopoli sehingga wujudnya isu kenaikan harga pada dua keperluan berkenaan.

“Memecahkan monopoli ini adalah satu tindakan yang bagus dalam mewujudkan persaingan yang sihat dalam perniagaan. Harga mampu ditawar dengan lebih rendah dan pengguna iaitu rakyat akan mendapat manfaatnya.

“Cuma saya berharap tindakan memecahkan monopoli ini perlu dibuat dengan telus dan melibatkan semua taikun atau kartel yang juga memainkan perniagaan monopoli di negara kita,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button