Berita Utama

PAS setuju isu tauke judi taja parti politik disiasat

Kegiatan judi satu dosa besar, bukan isu picisan untuk jadi tarikan semata-mata

BANGI, 12 Jamadilawal 1444H, Rabu – Tindakan Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kadar penurunan cabutan undi khas judi dengan berulang kali menyebut Perikatan Nasional (PN) disifatkan sebagai cubaan untuk menyasarkan tarikan semata-mata.

Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad berkata, ia juga dilihat sebagai Perdana Menteri untuk menjadi relevan dalam kalangan orang Melayu-Islam di negara ini.

Sedangkan, isu judi bukanlah isu picisan, demikian tegasnya.

“Isu ini sangat menyentuh sensitiviti orang Melayu dan umat Islam kerana kegiatan judi merupakan satu dosa besar dan ibu kerosakan sesebuah masyarakat.

“Berhubung kenyataan sinikal Anwar Ibrahim menyerang PN perihal saluran dana politik oleh tauke-tauke judi ini sebenarnya perlu dilihat pada mesej utamanya.

“… iaitu keuntungan yang diperoleh oleh tauke-tauke judi ini begitu tinggi sehinggakan mereka mampu menaja parti-parti politik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Idris, perkara itu perlu diberikan perhatian dan diselidik secara serius memandangkan ia bukan sesuatu yang baru berlaku.

“Amat baik sekiranya isu-isu ini diselesaikan dengan setiap negeri PH-BN mengikut jejak langkah negeri-negeri PAS-PN yang telah mengharamkan terus penggunaan premis untuk kegiatan judi,” katanya.

Beliau berkata, langkah itu pastinya akan menarik sokongan lebih tinggi pengundi Melayu-Islam kepada pihak kerajaan.

“Malah, PAS juga menawarkan diri membantu negeri-negeri yang ditadbir Pakatan Harapan dalam kaedah pelaksanaan polisi pengharaman judi sepertimana yang dilaksanakan di negeri-negeri bawah pentadbiran PAS/PN,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button