Berita UtamaDunia

Taliban tangkap anggota Daesh terlibat serangan Kedutaan Pakistan di Afghanistan

Serangan dipercayai berlaku supaya Afghanistan-Pakistan berseteru

KABUL, 12 Jamadilawal 1444H, Rabu – Anggota kumpulan pengganas Daesh yang dipercayai terlibat dalam serangan di Kedutaan Pakistan di Afghanistan minggu lalu berjaya ditahan.

Dalam serangan tersebut, seorang pengawal keselamatan dilaporkan cedera akibat terkena tembakan di kawasan kedutaan.

Kumpulan militan Daesh di wilayah Khorasan mengaku bertanggungjawab dalam serangan yang berlaku Jumaat lalu.

Sementara itu, jurucakap Taliban, Zabihullah Mujahid berkata, pasukan khas berjaya menahan individu yang bertanggungjawab dalam serangan di kedutaan itu.

“Individu berkenaan adalah warga asing dan dipercayai anggota kumpulan militan Daesh.

“Hasil siasatan mendapati serangan yang dilakukan bersama kumpulan pemberontak melibatkan beberapa pihak asing dengan tujuan supaya berlaku pergaduhan antara Afghanistan dan Pakistan,” katanya lagi.

Bagaimanapun, Zabihullah enggan menjelaskan lebih lanjut maklumat individu yang ditahan.

Sementara itu, Duta Pakistan ke Afghanistan, Ubaid ur Rahman Nizamani yang kini berada di Islamabad masih dalam proses rundingan namun tidak merancang untuk menutup pejabat kedutaan berkenaan.

Sebelum ini, Taliban memberi keyakinan negara pentadbirannya selamat namun dua kakitangan Kedutaan Russia dilaporkan terbunuh dalam serangan bom pada September lalu.

Serangan berkenaan turut dipercayai dilakukan oleh militan Daesh.

Malah bulan lalu, seorang lelaki bersenjata menembak mati pengawal keselamatan Pakistan di sempadan Chaman yang membawa penutupan pintu sempadan selama seminggu. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button