Berita Utama

Tuan Ibrahim dakwa kerajaan hari ini campuran perompak, penyamun

Bidas Anwar batal kelulusan projek tebatan banjir RM7 bilion

BANGI, 12 Jamadilawal 1444H, Rabu – Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man membidas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengumumkan beberapa kelulusan projek tebatan banjir bernilai RM7 bilion tidak diteruskan.

Semalam, Anwar berkata, ia membabitkan kelulusan secara rundingan terus yang diluluskan sebelum ini.

Bagaimanapun, Tuan Ibrahim selaku bekas Menteri Alam Sekitar dan Air meluahkan rasa hairan atas kenyataan tersebut kerana dakwanya projek tersebut belum diluluskan lagi.

Beliau berkata, pihaknya sebelum ini hanya membincangkan mengenai senarai projek yang mahu diutamakan bagi menyelesaikan masalah banjir.

“Setiap hujung tahun, negara ini khususnya di Pantai Timur akan dilanda banjir di mana setiap kali bencana itu berlaku negara akan kerugian antara RM6 bilion hingga RM7 bilion, sekali gus bermakna memerlukan suatu tindakan dibuat.

“Sehubungan itu terangnya, beliau telah berbincang dengan Perdana Menteri, Datuk Ismail Sabri Yaakob yang kemudian mendapatkan dana RM15 bilion melibatkan semua projek tebatan banjir berpuluh tahun tidak dilaksanakan untuk disegerakan tindakan.

“Projek ini belum pun dibagi mana-mana syarikat, surat setuju terima tak beri satu pun lagi tuan-tuan. Baru kita senarai projek yang menjadi keutamaan bagi menyelesaikan masalah banjir seluruh negara.

“Tahun lepas kita rugi RM6 bilion tuan-tuan kerana banjir ya. Sebab itu saya pelik bila beliau (Anwar) minta projek ini, dibatalkan dulu, ditangguhkan dulu. Eh projek tak buat, tangguh apa, batal apa?,” kata Timbalan Presiden PAS itu seperti dilapor Harakahdaily.

Pada masa sama, Tuan Ibrahim turut menempelak Timbalan Presiden PKR, Mohd Rafizi Ramli atas kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu yang membuat tuduhan fitnah konon KASA meluluskan peruntukan sebanyak RM2 bilion setelah Parlimen dibubarkan, sedangkan perkara itu tidak berlaku.

“Sebab itu, bila saya tengok renung balik, betullah kerajaan yang ada ni, bukan Kerajaan Perpaduan. Tapi Kerajaan Campuran perompak campur penyamun, campur penyokong penyamun, campur penyokong sakau.

“Maka kerajaan ialah Kerajaan Campuran perompak dan penyamun. Setuju tak? Jangan tuan-tuan sokong Kerajaan Campuran perompak penyamun ni.

“Mutakhir ni kita lihat dia menggelabah. Kerajaan yang ada ni tak tahu hala tuju. Sepatutnya bila dah jadi kerajaan, fokus, tunaikan manifesto yang kamu janji pada rakyat. Bukan duduk bagi isytihar,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button