Berita UtamaDunia

155 cedera kereta api berlanggar di Barcelona

Mangsa hanya alami cedera ringan

BARCELONA, 13 Jamadilawal 1444H, Khamis – Lebih 150 orang cedera ringan selepas sebuah kereta api merempuh belakang sebuah lagi kereta api di stesen berhampiran Barcelona pada Rabu.

Jurucakap perkhidmatan kecemasan wilayah Sepanyol (SEM) berkata, sebahagian besar mangsa dalam insiden perlanggaran itu, yang dilaporkan berlaku sebelum jam 8 pagi (waktu tempatan) hanya mengalami kecederaan ringan, sementara keadaan lima lagi penumpang lain turut dilaporkan tidak serius.

“Berlaku perlanggaran antara dua kereta api pada jam 7.50 pagi di stesen Montcada i Reixac-Manresa, di laluan menuju ke Barcelona, ini bermakna sebuah kereta api melanggar belakang sebuah lagi kereta api,” kata jurucakap pengendali kereta api negeri itu kepada AFP.

Katanya, trafik di sepanjang laluan itu digantung di kedua-dua arah dan Renfe telah memulakan siasatan susulan insiden berkenaan.

“Seramai 155 orang terbabit dalam insiden itu, 150 orang mangsa berdepan cedera ringan, manakala lima lagi turut cedera, namun tidak serius,” katanya kepada AFP.

Beliau turut memberitahu, sebanyak 18 unit perubatan telah dikerahkan ke lokasi berkenaan yang terletak kira-kira 10 kilometer (enam batu) dari utara Barcelona. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button