Berita Utama

‘Dulu orang lain kena siasat, kini engkau,’ kata Puad pada Muhyiddin

Desak kerajaan segerakan RCI terhadap Tommy Thomas, TH

BANGI, 13 Jamadilawal 1444H, Khamis – Perikatan Nasional (PN) mesti terbuka terhadap siasatan berhubung dakwaan salah kelola kewangan pada zaman Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, saranan itu bukan soal balas dendam atau salah guna kuasa.

“Ini penggiliran mencari kebenaran.

“Dulu, orang lain kena siasat, kini engkau kena siasat. Apadahal. Jangan sloganis,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini.

Dalam pada itu, Puad turut mendesak kerajaan menyegerakan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) terhadap bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas dan Tabung Haji.

“Kerajaan perlu didesak mendakwa Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali; bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz; saman isu Batu Putih selain perbicaraan adil untuk bossku (Datuk Seri Najib Razak).

“PN tidak boleh bantah. Itu sesuai dengan tagline PN ‘Prihatin, Bersih dan Stabil’,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO akan bermesyuarat malam ini.

Ia merupakan mesyuarat pertama selepas Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Mohamad Hassan, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Datuk Seri Azalina Othman Said, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz menyertai Kabinet Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, walaupun UMNO berada dalam kerajaan, ia mesti kekal memainkan peranan semak dan imbang.

“Tiada kompromi,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button