Berita Utama

Pengundi Padang Serai, Tioman beri isyarat tak restu penipuan PH-BN

Muhyiddin yakin rakyat tidak percaya kemampuan kerajaan sekarang

BANGI, 13 Jamadilawal 1444H, Khamis – Tan Sri Muhyiddin Yssin yakin keputusan pilihan raya kerusi DUN Tioman serta Parlimen Padang Serai menunjukkan rakyat tidak teruja dengan gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

Keputusan semalam menurutnya, majoriti BN merosot hampir separuh di DUN Tioman dan majoriti PN di Parlimen Padang Serai dua kali ganda yang dimenangi oleh PH dalam PRU 14.

“Ini bukti rakyat tidak mempercayai gabungan PH dan BN. Mereka tidak yakin dengan kemampuan kerajaan campuran yang diterajui oleh PH ini untuk mentadbir negara.

“Kecewa dengan penipuan pemimpin PH dan BN semasa kempen PRU15, ramai penyokong kedua-kedua parti ini telah beralih arah menyokong PN.

“Bagi saya, penipuan PH dan BN dalam PRU15 adalah ‘the biggest electoral fraud ever’ dan hari ini (semalam) pengundi di Padang Serai dan Tioman telah memberi isyarat jelas mereka tidak merestui tindakan kedua-dua parti ini,” katanya dalam kenyataan di Facebook beliau, hari ini.

Sambil mengucapkan rasa syukur, Pengerusi PN itu yakin kemenangan besar PN di Parlimen Padang Serai dan kekalahan tipis di DUN Tioman merupakan petanda positif sokongan padu rakyat kepada gabungan itu.

Ini kerana kedua-kedua kerusi itu masing-masing dimenangi oleh PH dan BN dalam PRU14.

“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Cikgu Azman Nasrudin atas kemenangan cemerlang beliau di Padang Serai. Kepada calon PN di Tioman, Nor Idayu Hashim, teruskan perjuangan anda bersama PN. Kita berada di landasan yang benar.

“Saya juga ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada seluruh jentera pilihan raya PN di Padang Serai dan Tioman atas komitmen dan kerja keras anda semua sepanjang tempoh berkempen,” katanya.

Kerusi terakhir di DUN Pahang menjadi milik BN apabila calonnya, Datuk Seri Mohd Johari Hussain, diumumkan sebagai pemenang PRU15 bagi DUN Tioman semalam.

Mohd Johari, yang merupakan penyandang kerusi itu, menang dengan majoriti tipis 573 undi selepas memperoleh 8,080 undi menewaskan calon Perikatan Nasional (PN) Nor Idayu Hashim yang mendapat 7,507 undi.

Pada masa sama, PN merampas kerusi Parlimen Padang Serai daripada PH selepas calonnya, Datuk Azman Nasrudin menang dengan majoriti 16,260 undi mengalahkan saingan terdekat, Dr Mohamad Sofee Razak.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button