Berita Utama

Proses mengundi tak patut berlaku pada hari bekerja

'Penamaan calon buat waktu cuti, hari mengundi pula pada Rabu'

BANGI, 13 Jamadilawal 1444H, Khamis – Proses pengundian pilihan raya tidak sepatutnya berlaku pada hari bekerja kerana boleh mengurangkan peratusan orang ramai untuk keluar mengundi.

Justeru, PAS mahu Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) melaksanakan proses berkenaan pada hari tidak bekerja untuk masa hadapan, bagi memudahkan orang ramai menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pemilih.

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, perkara itu perlu dititikberatkan susulan peratusan keluar mengundi yang direkodkan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman, semalam.

“Peratusan keluar mengundi (terlalu rendah) itu mencerminkan bahawa SPR perlu menyemak kembali hari pengundian agar dibuat pada Sabtu atau hari minggu.

“Kali ini terbalik apabila hari penamaan calon dibuat pada hari cuti, manakala hari mengundi pada hari Rabu,” katanya seperti dilapor media tempatan, hari ini.

Tuan Ibrahim berkata, pelaksanaan ketika hari berkenaan sangat tidak sesuai, maka beliau menggesa SPR mempertimbangkannya semula di masa hadapan.

Pada masa sama, beliau turut mahu SPR memberi perhatian serius kepada kemudahan bagi pengundi keluar mengundi terutama di kawasan yang memerlukan pengangkutan air seperti di Tioman.

“Pengundian di DUN Tioman turut membabitkan empat peti undi di Pulau Tioman. Mereka terpaksa menggunakan bot dan feri untuk keluar mengundi.

“Bagaimanapun, perkhidmatan feri tidak beroperasi pada musim ini kerana laut bergelora. Faktor ini menjejaskan peratusan keluar mengundi terutamanya di kawasan pulau,” katanya.

Terdahulu, kerusi terakhir di DUN Pahang itu menjadi milik Barisan Nasional apabila calonnya, Datuk Seri Mohd Johari Hussain diumumkan sebagai pemenang dengan majoriti tipis 573 undi.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button