Berita Utama

SPRM buka kertas siasatan isu dana RM600 bilion

Minta pihak ada bukti, dokumen tampil serahkan maklumat

BANGI, 13 Jamadilawal 1444H, Khamis – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan telah membuka satu kertas siasatan berhubung dakwaan berlaku penyelewengan wang perbelanjaan negara berjumlah RM600 bilion.

SPRM dalam kenyataan hari ini berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan terperinci, telus dan profesional daripada semua sudut berkaitan isu berkenaan.

“Sehubungan itu, mana-mana pihak yang mempunyai apa-apa maklumat, bukti atau dokumen yang berkaitan diminta untuk tampil ke pejabat SPRM terdekat untuk menyerahkan maklumat tersebut.

“Sekiranya perlu, SPRM juga boleh menghantar pegawai untuk mengambil maklumat atau dokumen tersebut,” katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa, pegawai Kementerian Kewangan mengesahkan bahawa ada pelanggaran serius prosedur berhubung dakwaan perbelanjaan hampir RM600 bilion ketika pentadbiran kerajaan diterajui Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Bagaimanapun, bekas Perdana Menteri itu menegaskan tidak takut disiasat berhubung laporan polis dibuat beberapa pihak mendakwa beliau menyeleweng dana RM600 bilion ketika pandemik COVID-19.

Pengerusi PN itu menerusi hantaran di Facebook menjelaskan, tidak mungkin beliau menyeleweng dana itu memandangkan ia adalah wang individu dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta bank yang bukan di bawah kawalannya.

Media sebelum ini juga mendakwa bahawa Muhyiddin dan dua lagi bekas menteri ketika pentadbirannya akan dipanggil SPRM bagi membantu siasatan.

Ia membabitkan bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin yang ketika itu Menteri Sains dan Teknologi serta bekas Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button