Tengku Zafrul sedia beri kerjasama isu dana RM600 bilion
'Tiada apa nak disorokkan, setakat ini SPRM belum hubungi'
BANGI, 13 Jamadilawal 1444H, Khamis – Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz mengesahkan belum dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memberi keterangan berhubung dakwaan berlaku salah guna dana RM600 bilion ketika pandemik COVID-19.
Beliau yang ketika itu memegang jawatan sebagai Menteri Kewangan turut bersedia memberikan kerjasama penuh terhadap siasatan.
“Tadi media tanya sama ada saya telah dipanggil SPRM untuk memberi keterangan isu RM600 bilion. Jawapan saya mudah.
“Tiada apa yang nak disorokkan, setakat ini SPRM belum hubungi saya. Sekiranya dihubungi, saya akan beri kerjasama penuh,” katanya dalam kenyataan di Twitter, hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan Tan Sri Muhyiddin Yassin, Khairy Jamaluddin dan Tengku Zafrul dijangka dipanggil memberi keterangan kepada SPRM berhubung dakwaan membabitkan dana RM600 bilion.
Laporan portal berita The Vibes yang memetik sumber berkata siasatan SPRM itu susulan laporan yang diterima daripada beberapa pihak yang mendakwa berlaku penyelewengan dalam pengurusan dana negara ketika pandemik itu melanda negara mulai 2020.
Ketika pentadbiran Muhyiddin sebagai Perdana Menteri, Tengku Zafrul dilantik sebagai Menteri Kewangan.
Sementara, Khairy yang juga Menteri Sains dan Teknologi pada permulaan pentadbiran Muhyiddin, kemudiannya bertukar portfolio itu dengan Datuk Dr Adham Baba sebagai Menteri Kesihatan.
Menurut Vibes, laporan mengenai siasatan membabitkan tiga individu berkenaan mula didedahkan oleh blog Datuk Ahirudin Attan atau dikenali sebagai RockyBru.
Menurut blog itu, Tengku Zafrul dipanggil SPRM berikutan beliau adalah Menteri Kewangan sewaktu pentadbiran Kerajaan Perikatan Nasional bagi menangani pandemik COVID-19 yang melanda negara sejak 2020.