Berita Utama

UMNO Kedah dakwa mungkin PH kalah di Padang Serai kerana pengundi keliru

Kalah bukan indikator terbaik rumus rakyat tolak PH-BN

BANGI, 13 Jamadilawal 1444H, Khamis – UMNO Kedah tidak menolak kemungkinan faktor calon Pakatan Harapan (PH), Dr Mohamad Sofee Razak tewas di Parlimen Padang Serai kerana kelewatan pengumuman kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan PH.

Ketua Penerangannya, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, jika dibandingkan dengan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman, pengumuman kerjasama di Padang Serai dibuat agak lewat.

“Ini mungkin menjadi faktor pengundi terkeliru dan tidak mendapat maklumat yang menyeluruh mengenai kerjasama PH-BN ini.

“Ditambah dengan gelombang yang ditiup oleh pihak lawan yang membawa sentimen perkauman, keagamaan sempit yang menakutkan masyarakat dan rakyat dalam berpolitik,” dakwanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, kekalahan calon PH walaupun disokong oleh rakan-rakan parti di dalam gabungan Kerajaan Perpaduan perlu diterima dengan hati yang terbuka.

“Kita perlu akur dan menjadikan keputusan Parlimen Padang Serai ini sebagai satu iktibar untuk menilai semula segala kelemahan, memperbaiki dan merancang strategi berkesan seterusnya kembali bangkit untuk meraih kepercayaan rakyat bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah pada tahun hadapan.

“Pada saya, ini adalah masa yang terbaik untuk kita menilai semula kekuatan yang ada dan memastikan sinergi di antara rakan parti di dalam Kerajaan Perpaduan ini dapat dimaksimumkan,” katanya.

Shaiful menegaskan, kekalahan di Padang Serai bukanlah indikator terbaik untuk merumuskan penolakan rakyat terhadap gabungan PH dan BN kerana di DUN Tioman kerjasama gabungan itu telah berjaya menzahirkan kemenangan.

“Apa jua keputusan, fokus dan tumpuan kini perlu diberikan kepada PRN Kedah yang akan berlangsung pada tahun hadapan.

“Saya yakin dan percaya, melalui perangkaan strategi awal yang berkesan ditambah dengan usaha turun padang serta menyantuni akar umbi bagi menerangkan kekuatan kerjasama parti di dalam Kerajaan Perpaduan, Insya-Allah angin perubahan mampu dilakukan di negeri Kedah ini pada PRN akan datang,” katanya.

Semalam, PN berjaya merampas kerusi Parlimen Padang Serai yang disandang PH selama tiga penggal pada PRU15.

Calon PN, Datuk Azman Nasrudin menang selesa selepas mendapat 51,637 undi dengan majoriti 16,260, sekali gus menewaskan Mohamad Sofee yang meraih 35,377 undi.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button