Berita Utama

Ahli MKT beritahu tiada siapa pertikai isu pecat 3 pemimpin UMNO

Ahmad Zahid nasihat tak bergaduh sesama sendiri lagi

KUALA LUMPUR, 14 Jamadilawal 1444H, Jumaat – Pemecatan tiga pemimpin UMNO tidak dipertikaikan dalam mesyuarat majlis tertinggi yang dipengerusikan Presiden parti, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, malam tadi.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Johan Abdul Aziz berkata, semua bersetuju apabila keputusan lembaga disiplin parti dibacakan oleh Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan.

“Mungkin ada aduan (yang mendorong lembaga disiplin mengambil tindakan terhadap ketiga-tiga mereka). Ini adalah keputusan parti dan kami menerimanya,” kata Johan seperti dilapor NST, hari ini.

Setiausaha Agung, Datuk Seri Ahmad Maslan mengesahkan Ketua Bahagian UMNO Ketereh, Tan Sri Annuar Musa antara salah seorang daripada tiga pemimpin yang dipecat daripada parti itu berkuat kuasa serta-merta.

Manakala dua lagi ialah Ketua Wanita UMNO Arau yang juga isteri Datuk Seri Shahidan Kassim, Datin Seri Shamsiah Md Yassin, dan Ketua Wanita UMNO Maran, Datin Seri Fatimah Kassim yang merupakan isteri kepada Ahli Parlimen Maran, Datuk Seri Ismail Muttalib.

Ahmad berkata, pemecatan mereka berkuat kuasa serta-merta dengan surat rasmi penamatan keahlian dihantar hari ini.

Dalam pada itu, Johan berkata, Ahmad Zahid, yang juga Pengerusi Barisan Nasional, telah menasihati semua ahli majlis tertinggi supaya bersatu dan menghentikan perbalahan politik.

Katanya, Ahmad Zahid menggesa UMNO dan BN untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan kini bagi memastikan kejayaan kerajaan baharu pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Zahid menasihatkan kami supaya tidak bergaduh sesama sendiri lagi, katanya.

Turut ditekankan kepada bahawa sudah tiba masanya untuk bergerak ke hadapan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 dan melakukan yang terbaik untuk berkhidmat kepada rakyat.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button