Berita Utama

Khutbah Jumaat nasihat umat Islam tinggalkan perbalahan

Keterbukaan bukan 'lampu hijau' laga-lagakan satu sama lain

BANGI, 14 Jamadilawal 1444H, Jumaat – Khutbah Jumaat mengajak umat Islam meninggalkan perbalahan, sikap tuduh-menuduh dan pertengkaran yang hanya merugikan semua pihak.

Menurut khutbah Jumaat dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), suasana harmoni, tenteram dan kesatuan dalam masyarakat pasti dapat dipelihara jika umat Islam sentiasa menjunjung tinggi adab kesopanan dan kesusilaan.

Katanya, kehidupan hari ini sangat berbeza ditambah lagi dengan adanya media sosial yang sangat terbuka tanpa mengira lapisan masyarakat.

“Ruang yang ada di laman maya sepatutnya dimanfaatkan untuk mendapatkan maklumat serta tujuan kebaikan yang lain. Keterbukaan yang ada bukan ‘lampu hijau’ untuk kita menulis, mengulas atau memberi komen sebarang isu apatah lagi menjadi batu api yang melaga-lagakan antara satu sama lain.

“Ingatlah bahawa kita bertanggungjawab di akhirat kelak terhadap apa-apa yang kita ucap, yang kita buat dan yang kita tulis. Maka janganlah terlampau menuruti hawa nafsu dan amukan emosi dalam setiap urusan dan tindakan. Berfikirlah secara waras dan bertindaklah secara matang dan benar,” katanya.

Pada masa sama, khutbah Jumaat mengajak umat Islam membuka lembaran baharu dengan suasana hidup yang aman dan bahagia, saling menghormati, memaafi dan mempertahankan antara satu sama lain dalam apa jua situasi.

“Dalam bersama-sama kita mengorak dan mencorak kehidupan bernegara yang diberkati dan dirahmati Allah SWT, selamat dan sejahtera dari sebarang perasaan takut dan bimbang, serta kecukupan rezeki dari yang halal, khatib ingin mengajak sidang jemaah sekalian sama-sama meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT.

“Mendirikan solat, mensyukuri segala nikmat-Nya dan saling berpesan antara satu sama lain,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button