Berita Utama

Makin serlah sikap diktator Zahid

Pecat Annuar dianggap tak sah jika tidak ikut prosedur

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 14 Jamadilawal 1444H, Jumaat – UMNO terus dikecam apabila membuat keputusan drastik memecat pemimpin yang didakwa lantang mengkritik presiden parti.

Antaranya Ketua UMNO Bahagian Ketereh, Tan Sri Annuar Musa, Ketua Wanita UMNO Bahagian Arau, Datuk Seri Shamsiah Yasin dan Ketua Wanita UMNO Bahagian Maran, Datin Seri Fatimah Kassim.

Annuar didakwa lantang mengkritik kepimpinan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, khususnya berkaitan usaha jajaran baharu antara Barisan Nasional (BN) serta Pakatan Harapan (PH).

Shamsiah dan Fatimah pula bulan lalu digantung sementara seluruh jawatannya selepas didapati terbabit secara langsung atau tidak langsung menyokong calon parti lawan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Bagi penganalisis politik, Prof Datuk Dr Abdul Halim Sidek, tindakan memecat serta-merta tiga pemimpin UMNO adalah hukuman yang amat serius dan dilihat keterlaluan.

“Biasanya mengikut perlembagaan parti, sesiapa yang melakukan salah laku dan melanggar peraturan akan dihadapkan ke jawatankuasa tatatertib dan siasatan dibuat terlebih dahulu.

“Kemudian akan dibawa ke Majlis Kerja Tertinggi (MKT) untuk dijatuhkan hukuman sama ada diberikan amaran atau gantung keahlian dan paling serius barulah pecat.

“Jadi dalam kes Annuar Musa, adakah dibuat mengikut prosedur yang betul, kalau tidak, ia tidak sah dan Zahid akan dilihat diktator,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Prof Halim yang juga Pensyarah di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) tertanya-tanya kesalahan besar Annuar Musa sehingga beliau dipecat.

Baginya, apa jua kesalahan siasatan telus mesti dilakukan sebelum menjatuhkan hukuman kepada setiap individu.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button