Pejuang Selangor sedia kerjasama parti lain hadapi PRN
Utamakan agenda rakyat berbanding politik kepartian
BANGI, 14 Jamadilawal 1444H, Jumaat – Parti Pejuang Selangor bersedia untuk bekerjasama dengan parti lain bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN), tidak lama lagi.
Ketuanya, Harumaini Omar berkata, hasrat itu supaya pembentukan kerajaan negeri kelak lebih seimbang, stabil dan progresif dengan mengutamakan agenda rakyat berbanding kepentingan politik kepartian.
“Pejuang Selangor menzahirkan keterbukaan bagi mengadakan proses rundingan jaringan kerjasama dengan parti-parti politik mahupun mana-mana blok parti sebagai persediaan bagi PRN.
“Walaupun terbuka untuk bekerjasama namun tetap teguh berpegang kepada prinsip asas tanpa kompromi termasuk memerangi rasuah, salah guna kuasa dan kleptokrasi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Harumaini menegaskan, Pejuang masih kekal untuk terus memperjuangkan Melayu tanpa menafikan mahupun menzalimi hak kaum lain.
“Pejuang Selangor beriltizam memperjuangkan gagasan bangsa Malaysia yang progresif dan dinamik di samping memupuk perpaduan kaum untuk kembalikan ekonomi Malaysia dan pembangunan Selangor yang lebih mampan,” katanya.