Berita Utama

PM diminta perjelas langkah susulan selepas hapus monopoli BERNAS

Apakah akan buka ruang pada syarikat swasta lain import beras daripada luar?

ALOR SETAR, 14 Jamadilawal 1444H, Jumaat – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diminta menjelaskan lebih lanjut kaedah penghapusan monopoli Padiberas Nasional Bhd (BERNAS) dalam industri padi dan beras negara.

Pesuruhjaya PAS Kedah, Ustaz Ahmad Yahaya berkata, walaupun cadangan penghapusan monopoli BERNAS itu telah lama diutarakan, namun pihaknya berpandangan, kerajaan perlu menyediakan justifikasi dan langkah susulan yang kukuh terhadap tindakan tersebut.

“Pertama, adakah menghapuskan monopoli BERNAS bermaksud akan membuka ruang kepada syarikat swasta lain untuk mengimport beras daripada luar? Ini kerana monopoli tersebut berkait dengan pengimportan beras ke dalam negara.

“Bagaimana kesan dan impak kepada pengusaha beras tempatan yang terpaksa bersaing disebabkan harga beras import yang lebih murah? Apakah ada ‘safety net’ terhadap perkara tersebut?

“Adakah kerajaan akan mengawal import beras sedangkan langkah sedia ada dilakukan bagi mengawal selia jumlah beras yang diimport memenuhi keperluan dan permintaan?,” soalnya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Ustaz Ahmad berkata, pengistilahan ‘monopoli’ kepada BERNAS sebenarnya diikat dengan obligasi sosial yang ketat, bahkan kerajaan mengawal sepenuhnya bidang kuasa BERNAS ketika ini melalui ‘golden share’.

Beliau berkata, ia berkait dengan pengawalseliaan terhadap stok penimbal yang disasarkan kepada 290,000 tan metrik kelak. 

Katanya, obligasi ini mengikat peranan monopoli import BERNAS termasuk dalam klausa pembaharuan konsesi bagi 10 tahun akan datang sehingga 2031. 

“Persoalannya, adakah syarikat swasta yang lain turut diikat dengan obligasi yang sama seperti yang ditanggung BERNAS? 

“Oleh itu, PAS Kedah berpandangan isu ini memerlukan penelitian yang lebih lanjut dan tidak sekadar semberono. Ironinya, pengumuman penghapusan monopoli terpisah daripada perbincangan lain yang mustahak,” katanya.

Justeru, PAS Kedah mencadangkan lima perkara sebagai keutamaan kepada kerajaan dalam konteks keselamatan makanan ini.

Pertama, katanya, adalah untuk mengupayakan Dasar Agromakanan Negara 2.0 (2021-2030) yang menumpukan kepada peningkatan produktiviti serta mobiliti sosial para pesawah. 

Kedua, kerajaan perlu menyokong usaha Kerajaan Negeri Kedah dengan dasar penanaman padi lima kali dalam tempoh dua tahun bagi meningkatkan penghasilan padi seterusnya menyokong sasaran tahap sara diri melebihi 80 peratus menjelang 2030 seperti yang digariskan DAN 2.0.

Ketiga, beliau berkata, kartel padi perlu diperangi secara sistematik, telus dan berstrategik serta mengawal rantaian pengeluaran padi dengan lebih efektif.

Manakala yang keempat, kerajaan disyor mencontohi model asas pelaksanaan Smart Sawah Berskala Besar (Smart SBB) Asnaf yang dilaksanakan oleh Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK). 

“Strategi Smart SBBA ini bukan sahaja berjaya memastikan peningkatan terhadap penghasilan padi bagi sehektar, bahkan juga berjaya memastikan mobiliti sosial para pesawah keluar daripada zon kemiskinan,” katanya.

Sementara yang kelima, beliau menggesa kerajaan memberikan tumpuan yang serius bagi meremajakan industri padi dan beras negara serta tumpuan terhadap penerimagunaan teknologi. 

“PAS Kedah berpandangan isu keselamatan makanan wajar ditangani secara komprehensif. Langkah yang diatur Kerajaan Persekutuan ketika ini lebih didorong oleh tindakan populis yang tiada justifikasi kukuh terhadapnya,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button