Jannah Theme License is not validated, Go to the theme options page to validate the license, You need a single license for each domain name.
Berita UtamaDunia

Afghanistan laksana semula hukuman mati secara terbuka

Hukuman dilaksana oleh bapa mangsa sambil disaksikan pemimpin tertinggi Taliban

KABUL, 15 Jamadilawal 1444H, Sabtu – Afghanistan melaksanakan hukuman mati secara terbuka terhadap seorang lelaki, hukuman yang pertama dilaksanakan selepas Taliban kembali berkuasa.

Memetik Reuters, lelaki yang dijatuhi hukuman mati berkenaan dituduh menikam seorang lelaki lain yang dikenali Mustafa dari Wilayah Farah, barat Afghanistan, kira-kira lima tahun lalu.

Pelaku yang dikenali Tajmir dari wilayah Herat itu disabitkan bersalah selepas membunuh dan didakwa mencuri motosikal dan telefon bimbit milik Mustafa.

Keputusan untuk melaksanakan hukuman berkenaan dilakukan dengan penuh teliti dan dibicarakan di tiga mahkamah berasingan selain diluluskan oleh kepimpinan tertinggi Taliban.

Jurucakap Taliban, Zabihullah Mujahid berkata, hukuman mati tersebut dilaksanakan oleh bapa mangsa sambil disaksikan beberapa pegawai tinggi Taliban.

Sebelum itu, ibu mangsa yang dibunuh itu memberitahu BBC bahawa pemimpin Taliban telah merayu kepadanya untuk memaafkan tertuduh, tetapi dia berkeras untuk melaksanakannya.

“Taliban datang kepada saya dan merayu saya untuk memaafkan pesalah ini. Mereka mendesak saya untuk memaafkan lelaki ini demi Tuhan, tetapi saya memberitahu mereka bahawa lelaki ini mesti dihukum bunuh dan mesti dikebumikan sama seperti yang dia lakukan kepada anak saya.

“Ini boleh menjadi pengajaran kepada orang lain. Jika anda tidak bunuh dia, dia akan melakukan jenayah lain pada masa hadapan,” kata ibu mangsa.

Hukuman mati dan sebatan di khalayak umum adalah perkara biasa ketika Taliban memerintah sebelum ini.

Namun, hukuman kali ini merupakan yang pertama dilaksanakan semula sejak Taliban mengambil alih pentadbiran negara pada 2021.

Kata Zahibullah lagi, individu yang hadir dalam pelaksanaan hukuman mati tersebut terdiri daripada pemangku Menteri Dalam Negeri, Sirajuddin Haqqani, pemangku Timbalan Perdana Menteri, Abdul Ghani Baradar dan pemangku Ketua Hakim, pemangku Menteri luar dan Menteri Pendidikan.

Pelaksanaan undang-undang syariah berkenaan dikuatkuasakan selepas pemimpin tertinggi Taliban mengadakan pertemuan dengan hakim dan meminta hukuman secara konsisten mengikut undang-undang syariah.

Pelaksanaan itu dibuat selepas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) merayu supaya Afghanistan menghentikan segera pelaksanaan hukuman mati dan hukuman sebat di khalayak awam.

Sejak kebelakangan ini Mahkamah Agung Afghanistan menjatuhkan hukuman sebatan secara terbuka kepada individu yang melakukan zina. – Agensi

Pautan berkaitan;
https://ismaweb.net/2022/11/24/afghanistan-laksana-hukuman-sebat-terbuka-kepada-pesalah-zina/

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button