PAS gesa Anwar disiasat fitnah PN terima dana syarikat judi
‘Minta kemukakan bukti tetapi sehingga hari ini tiada yang diberikan’

BANGI, 15 Jamadilawal 1444H, Sabtu – PAS menggesa siasatan menyeluruh terhadap fitnah yang dilemparkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung dakwaan bahawa Perikatan Nasional (PN) menerima dana daripada syarikat berkaitan perjudian pada kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Ketua Pemuda PAS Kedah, Nurul Amin Hamid berkata, tuduhan Perdana Menteri itu adalah cubaan untuk menimbulkan persepsi buruk terhadap blok politik berkenaan.
Malah, tegasnya, tuduhan bahawa PN menerima dana daripada perjudian bukan sahaja tidak wajar tetapi tidak berasas dan bersifat fitnah semata-mata.
“PAS minta supaya Anwar kemukakan bukti tetapi sehingga hari ini tiada yang diberikan beliau.
“Jadi saya membuat laporan ini supaya beliau disiasat kerana mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah kepada kami, Ahli-Ahli Parlimen PN,” katanya seperti dilapor akhbar tempatan.
5 Disember lalu, Anwar dalam sidang medianya selepas mesyuarat khas Kabinet di Putrajaya mendedahkan kemungkinan PN memperoleh dana politik daripada syarikat berkaitan perjudian bagi membiayai perbelanjaan pilihan raya.
Nurul Amin yang juga Ahli Parlimen Padang Terap menegaskan, sebagai calon yang bertanding dalam pilihan raya lalu, beliau menafikan sekeras-kerasnya dana diterima adalah dana daripada sumber tidak bersih.
Mengulas lanjut, beliau berkata, Anwar sebagai Perdana Menteri tidak sepatutnya melemparkan tuduhan berkenaan dengan menyerang pihak lawan untuk menimbulkan persepsi tidak berasas.
Sebelum ini, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang menempelak tuduhan Ahli Parlimen Tambun itu dan menyifatkan dakwaannya sebagai tidak masuk akal.
Ini kerana, katanya, PAS adalah sebuah parti yang tegas dan agresif menutup tempat perjudian.