Berita UtamaDunia

7 maut serangan Pakistan-Afghanistan

Pertempuran tercetus kerana isu pos pemeriksaan di sempadan

QUETTA, 17 Jamadilawal 1444H, Isnin – Kira-kira enam orang awam Pakistan dan seorang askar Afghanistan terbunuh dalam letupan bom dan serangan tembakan merentas sempadan, semalam.

Tentera Pakistan mendakwa, pasukan sempadan Afghanistan melepaskan ‘tembakan senjata berat tanpa provokasi dan sembarangan termasuk bom mortar ke atas penduduk awam’.

Insiden berlaku di persimpangan sempadan Chaman yang menghubungkan wilayah Balochistan barat Pakistan dengan wilayah Kandahar di selatan Afghanistan.

“Enam orang awam terbunuh dan 17 lagi cedera di pihak Pakistan akibat tembakan di Afghanistan, menyebabkan tentera Pakistan bertindak balas,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, sumber keselamatan Afghanistan berkata, pertempuran bermula selepas tentera Pakistan menuntut askar Afghanistan berhenti membina pos pemeriksaan baharu di sempadan mereka.

Jurucakap polis Kandahar, Hafiz Saber berkata, seorang askar Afghanistan terbunuh dan 10 orang lain, termasuk tiga orang awam cedera.

Pegawai Afghanistan, Noor Ahmad di Kandahar memberitahu Reuters keadaan kembali normal selepas kedua-dua pihak mengadakan pertemuan.

Lintasan sempadan Afghanistan yang sibuk di Chaman, digunakan untuk perdagangan dan transit, ditutup selama beberapa jam sebelum dibuka semula, kata pegawai kedua-dua pihak.

Lintasan itu ditutup selama beberapa hari bulan lalu selepas pertempuran sama. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button