Annuar Musa terima lebih 10,000 ahli MN selepas beberapa jam dibuka
Terharu ramai anak bangsa prihatin nasib agama, bangsa dan negara

BANGI, 17 Jamadilawal 1444H, Isnin – Muafakat Nasional (MN) yang diterajui Tan Sri Annuar Musa mengesahkan menerima lebih 10,000 permohonan keahlian hanya selepas beberapa jam dibuka.
Beliau yang berkongsi perkembangan berkenaan menerusi hantaran di Facebook miliknya melahirkan rasa terharu dengan sambutan yang diterima.
“Subhanallah baru beberapa jam keahlian Muafakat Nasional dibuka, sudah lebih 10,00 permohonan keahlian diterima.
“Saya terharu betapa ramai di luar sana anak bangsa yang prihatin terhadap agama, bangsa dan negara serta cintakan muafakat,” katanya.
Bekas Ahli Parlimen Ketereh mengakui sokongan yang diberi dapat memberikan kekuatan baharu kepadanya untuk terus berjuang bersama yang jujur dan ikhlas.
“Semoga Allah memudahkan segala urusan kita seterusnya,” katanya.
Annuar sebelum ini adalah individu penting dalam menubuhkan MN pada 14 September antara UMNO dan PAS atas alasan mahu mengukuhkan semula kesatuan politik bangsa Melayu dan ummah.
Namun pada PRU15 masing-masing membawa haluan sendiri sehinggakan dilihat hilang punca.
Annuar kembali mengaktifkan MN selepas dipecat daripada ahli UMNO atas alasan lantang mengkritik presiden parti.