Berita Utama

Pejabat Imigresen KL, Putrajaya sesak

Tangguh dulu permohonan pasport jika tidak keperluan mendesak

BANGI, 17 Jamadilawal 1444H, Isnin – Kesesakan luar biasa yang berlaku di pejabat permohonan pasport Jabatan Imigresen di Kuala Lumpur dan Putrajaya hari ini berpunca daripada penutupan pejabat-pejabat pasport di seluruh Selangor kerana cuti umum dan cuti sekolah.

Sehubungan itu, Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud menasihatkan orang ramai mencari alternatif untuk memohon pasport di pejabat Imigresen yang terletak di luar Lembah Klang yang kurang sesak.

Antara pejabat permohonan pasport berdekatan dan kurang kesesakan adalah di Seremban, Melaka, Cameron Highlands dan Raub di Pahang, Pengkalan Hulu (Perak), Mersing dan Kukup (Johor) serta Kangar di Perlis.

Urusan permohonan pasport selepas ini juga boleh dibuat di pejabat permohonan pasport di Kuala Langat dan Kuala Kubu Bharu di Selangor kerana dikenal pasti kurang sesak.

“Selain itu, bagi mereka yang tidak mempunyai keperluan mendesak atau kecemasan, dimohon supaya menangguhkan dahulu urusan permohonan pasport dan memohon di luar waktu puncak,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Khairul Dzaimee turut menasihatkan orang ramai supaya tidak mengambil sikap menunggu hingga ke saat akhir dan perlu merancang perjalanan lebih awal bagi mengelakkan kesesakan.

Orang ramai juga dijemput untuk menyertai saluran telegram rasmi bagi urusan permohonan pasport untuk sebarang pertanyaan di pautan https://t.me/PejabatPasport .

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button