Berita Utama

Status 4 MP, tunggu laporan rasmi Jabatan AG

Terletak kepada Speaker dalam masa 21 hari selepas notis diberikan

BANGI, 17 Jamadilawal 1444H, Isnin – Keputusan muktamad berhubung status empat ahli Parlimen Bersatu di Sabah yang keluar parti terletak kepada Speaker Dewan Rakyat berdasarkan Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said mengesahkan pihaknya perlu menunggu laporan rasmi daripada Jabatan Peguam Negara.

“Saya perlu tunggu laporan rasmi dan pandangan undang-undang daripada Jabatan Peguam Negara.

“Saya rasa dalam Perkara 49A (Perlembagaan Persekutuan), keputusan muktamad adalah terletak kepada Speaker dalam masa 21 hari selepas notis diberikan kepada beliau.

“Bagaimanapun, dalam pindaan Perlembagaan itu (berkaitan Akta Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 atau Akta A1663, diletakkan beberapa syarat untuk membuat kepastian, jadi ia di luar bidang kuasa saya untuk memberikan komen,” katanya seperti dilapor media tempatan, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas isu pemimpin Bersatu Sabah termasuk beberapa wakil rakyatnya yang keluar daripada parti tersebut, Sabtu lalu.

Sementara itu, Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun berkata, pihaknya akan menentukan sama ada kerusi Parlimen di Sabah kosong atau tidak selepas menerima notis berhubung tindakan lompat parti.

Katanya, menjadi tugas Speaker untuk menentukan kekosongan selepas diberikan notis.

Sabtu lalu, pemimpin Bersatu di Sabah termasuk semua wakil rakyatnya mengumumkan keluar daripada parti itu.

Dalam satu kenyataan, Ketua Menteri yang juga Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Hajiji Noor, berkata keputusan itu dibuat selepas mempertimbangkan landskap politik Malaysia ketika ini, terutama di Sabah.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button