UMNO sedia terima semua usul termasuk tak pertanding jawatan presiden
Zahid sedia pertimbang cadangan demi pengukuhan parti

KUALA LUMPUR, 17 Jamadilawal 1444H, Isnin – UMNO sedia menerima sebarang usul yang akan dicadangkan pada Perhimpunan Agung 2022 asalkan dapat memperkukuh parti dan kepimpinan, kata Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata, semua aspek akan dipertimbangkan, termasuk pandangan Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos, yang mencadangkan supaya jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan pada pemilihan parti akan datang.
Itu pandangan peribadi Jamal dan kita akan terima mana-mana usul yang boleh mengukuhkan UMNO.
“Apa yang lebih penting ialah kita harus merapatkan barisan dalam kalangan ahli dan pucuk pimpinan selepas kita dilanda teruk dalam Pilihan Raya Umum Ke-15,” katanya.
Zahid berkata demikian selepas menghadiri majlis makan malam ulang tahun ke-10 Persatuan Usahawan Wanita Cina Malaysia malam tadi.
Dalam satu kenyataan semalam, Jamal telah mencadangkan supaya jawatan Presiden dan Timbalan UMNO tidak dicabar kerana parti itu masih rapuh dan tidak stabil.
Jamal berkata, beliau bercadang untuk membangkitkan usul itu semasa perhimpunan agung bulan depan.