Berita Utama

4 MP Sabah tak perlu kosongkan kerusi

Semua sudah letak jawatan dari Bersatu sejak awal Oktober

BANGI,18 Jamadilawal 1444H, Selasa – Empat Ahli Parlimen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang mengumumkan keluar daripada Bersatu tidak perlu mengosongkan kerusi berikutan kesemuanya telah keluar parti, Oktober lalu.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, empat Ahli Parlimen GRS itu boleh kekal di kerusi mereka.

“Saya ingin menjelaskan empat Ahli Parlimen (MP) tidak perlu mengosongkan kerusi mereka.

“Selepas dimaklumkan pelbagai sumber yang boleh dipercayai pagi ini dan tengah hari ini empat ahli Parti Bersatu ini sudah meletakkan jawatan dalam parti mereka pada awal Oktober lalu sebelum bertanding Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 Oktober lalu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kenyataan tersebut dibuat susulan polemik mengenai status empat Ahli Parlimen itu yang bertanding dalam PRU15 atas tiket Gabungan Rakyat Sabah (GRS), namun menjadi ahli Bersatu.

Empat Ahli Parlimen Bersatu Sabah yang bertanding atas tiket GRS ialah Datuk Armizan Mohd Ali (Papar), Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi), Jonathan Yasin (Ranau) dan Datuk Matbali Musah (Sipitang).

Semalam, pendirian Wan Junaidi berbeza dengan pakar Perlembagaan Datuk Tengku Fuad Tengku Ahmad apabila menegaskan empat ahli Parlimen Sabah terbabit tidak mempunyai pilihan, selain mengosongkan kerusi mereka sebaik sahaja keluar daripada parti itu secara rasmi.

Beliau yang terbabit dalam penggubalan undang-undang larangan tukar parti – diluluskan Dewan Rakyat Julai lalu – bagaimanapun menjelaskan dirinya bersetuju dengan kenyataan Tengku Fuad.

“Jika itu situasinya, saya bersetuju dengan Tengku Fuad yang mana akta anti-lompat parti tidak terkesan kepada mereka,” katanya lagi.

Beliau berkata, pada PRU15 baru-baru ini, Ahli Parlimen berkenaan bertanding di bawah tiket GRS.

“Pakatan parti itu dengan Bersatu berakhir pada awal Oktober tahun ini, sebelum pemilihan berlangsung.

“Oleh itu, mereka tidak melanggar Perlembagaan Persekutuan berkaitan Peruntukan Larangan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button