Berita Utama

PAU penentu nasib UMNO mahu berubah atau kekal ditolak

Apakah nasib parti tertua itu untuk pilihan raya akan datang?

BANGI,18 Jamadilawal 1444H, Selasa – Kejatuhan UMNO pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) menjadi satu tamparan hebat buat parti berkenaan apabila kali pertama ditolak rakyat setelah hampir 60 tahun ‘selesa’ sebagai pemerintah.

Situasi itu bukan hanya mengejutkan ahli dan penyokong tegar parti itu, bahkan mengubah secara total landskap politik tanah air sehingga mengundang pelbagai kemelut.

Meskipun berusaha untuk bangkit menagih kembali sokongan rakyat, ternyata UMNO lebih teruk berdepan era kejatuhannya apabila jumlah kerusi yang dimenanginya terus merosot kepada 30 sahaja pada PRU15 berbanding lebih 40 PRU14.

Walaupun kini masih berada di posisi pemerintah bersama kerajaan campuran Pakatan Harapan (PH), prestasi UMNO pada PRU15 mencetuskan pelbagai tanda tanya apakah nasib parti tertua untuk pilihan raya akan datang.

Menurut penganalisis politik, Dr Azmi Hassan, Perhimpunan Agung UMNO (PAU) sahaja boleh menjadi penentu kepada nasib parti itu, termasuk hala tuju ahlinya.

Beliau berkata, PAU yang dijangka berlangsung pada Januari depan boleh menjadi titik permulaan untuk menyelamatkan parti itu daripada terus dikuburkan atau terus kekal sebagai ejen pembela kepada nasib Melayu.

“Sekiranya pengundi UMNO yakin parti tersebut masih relevan mereka perlu lakukan sesuatu untuk mengembalikan semula semangat dalam perjuangan parti terbesar orang Melayu itu sebelum ini.

“Kalau boleh dicantaskan masalah dan kudis itu maka boleh dikatakan diselamatkan untuk membawa keluar UMNO daripada terus dikuburkan,” katanya dalam rancangan temubual Dimensi di TV Pertiwi, hari ini.

Dr Azmi berkata, penyelesaian itu hanya boleh diselesaikan oleh ahlinya sendiri memandangkan pengundi-pengundi luar telah menyatakan pilihan serta sokongan mereka pada PRU15 lalu.

Dalam hal ini, beliau berkata, ahli UMNO sendiri perlu memainkan peranan sama ada mahu melakukan perubahan atau terus kekal dalam keadaan UMNO hari ini.

“Jadi ini isyarat jelas untuk menentukan hala tuju parti terbesar orang Melayu ini,” katanya.

Tonton Dimensi;

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button